Masih Ramai Rakyat Malaysia Tidak Ambil Vaksin H1N1

Diterbitkan: Isnin, 24 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Penerimaan rakyat Malaysia terhadap vaksin Influenza A (H1N1) masih tidak memberangsangkan walaupun ia boleh diperolehi secara percuma di klinik dan hospital kerajaan seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata senario itu tidak seharusnya berlaku memandangkan wabak berkenaan masih menular dalam negara dan orang ramai, khususnya golongan yang berisiko tinggi seharusnya mendapatkan vaksin itu dengan segera.

Menurutnya setakat ini hanya 123,000 rakyat Malaysia termasuk golongan berisiko tinggi yang sudah mendapatkan vaksin ini, dan masih ramai yang tidak mengendahkan seruan kerajaan agar mendapatkan suntikan berkenaan.

"Vaksin ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang serius, kecuali sedikit kesakitan di bahagian lengan, sedikit demam atau mungkin juga pening kepala kepada sesetengah orang," katanya pada satu persidangan media di sini hari ini selepas menyaksikan upacara penganugerahan gelaran Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Lim Malaysia kepada Presiden Pengasas Universiti Kreatif dan Teknologi Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing di sini. Liow berkata demikian semasa mengumumkan maklumat terkini mengenai wabak H1N1 yang masih menular di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Katanya pada peringkat pertama pemberian vaksin, keutamaan diberikan kepada 89,000 petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan dan 73,000 petugas barisan hadapan dari kementerian lain termasuk anggota polis, imigresen dan kastam yang bertugas di semua pintu masuk negara.

Sementara itu Liow berkata 14,633 kes positif H1N1 dilaporkan dalam negara sehingga kini, membabitkan 86 kematian, di samping 590 kes penyakit serupa influenza (ILI), dengan 61 daripadanya disahkan sebagai positif H1N1.

"Lapan pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesemua mereka adalah dari golongan berisiko tinggi," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga jelas Liow, masih meletakkan wabak itu sebagai ancaman serius terhadap penduduk dunia.

"Sesiapa sahaja yang dikesan memiliki tanda-tanda awal penyakit ini perlu mendapatkan rawatan segera. Bagi golongan yang berisiko tinggi, peluang untuk pulih masih cerah sekiranya menerima rawatan dalam tempoh tiga hari selepas jangkitan, tetapi keadaan mereka akan menjadi buruk sekiranya tiada rawatan diterima selepas tempoh itu," katanya.

Dalam masa yang sama Liow berkata orang ramai perlu peka dengan ancaman wabak denggi yang semakin merebak, yang sejak awal tahun sehingga dua hari lepas sudah meragut 60 nyawa.

"Sebanyak 18,850 kes denggi dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan dengan 60 kematian berbanding 20,934 kes dan 53 kematian untuk tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Lim Kok Wing dianugerahi dengan gelaran itu sebagai mengiktiraf peranannya dalam menubuhkan universiti pertama di dunia yang menggunakan gelaran 'Lim' sebagai nama universiti. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan