84 Aduan Mengenai SPRM Diterima Sepanjang Tahun Lepas

Diterbitkan: Isnin, 24 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sejumlah 84 aduan mengenai suruhanjaya itu sepanjang tahun lepas membabitkan pelbagai kesalahan termasuk salah laku, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian dalam tugas.

Pengerusi Jawatankuasa itu Datuk Mohd Noor Abdullah berkata daripada jumlah itu aduan mengenai penyalahgunaan kuasa paling banyak diterima iaitu 27, diikuti perbuatan salah laku dan kecuaian dalam tugas, masing-masing 14 dan dua aduan mengenai ketidakpatuhan prosedur.

Baki 27 aduan lagi adalah mengenai lain-lain perkara termasuk aduan bersifat jenayah dan permohonan status siasatan, katanya pada majlis penyerahan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Noor, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka berhubung dan 55 daripadanya telah selesai manakala 11 lagi masih dalam siasatan.

Hasil siasatan mendapati 41 kes tidak melanggar kesalahan tatatertib, lima kes adalah aduan tidak benar, lima kes diberi amaran dan empat kes lagi dirujuk kepada Lembaga Tatatertib SPRM, kata beliau

"Sepanjang 2009, Lembaga Tatatertib SPRM telah menerima sebanyak tujuh kes tatatertib yang turut melibatkan dua pegawai menerima hukuman buang kerja kerana tidak hadir bertugas melebihi tujuh hari," katanya.

Mohd Noor berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi prosedur kerja SPRM termasuk menyarankan suruhanjaya itu meneliti semula prosedur menyimpan dan menggunakan senjata api. "Kami mencadangkan supaya prosedur kerja di SPRM diperbetulkan iaitu bila menyiasat kes perempuan maka hendaklah ada seorang perempuan bersama pegawai penyiasat supaya tidak timbul fitnah.

"Kita juga mencadangkan supaya rakaman pernyataan hendaklah diadakan dalam bilik khas yang selesa dan disediakan kamera litar tertutup (CCTV) supaya rakaman pernyataan boleh diambil dalam suasana yang selesa dan dikesan oleh CCTV," katanya.

Cadangan lain ialah pegawai penyiasat memaklumkan kepada tertuduh agar membawa pasport antarabangsanya ke mahkamah dalam kes memerlukan pasport itu dikehendakki Timbalan Pendakwaraya, bagi mengelakkan tertuduh ditahan di lokap sementara menunggu pasportnya dihantar ke mahkamah.

Pada sidang sidang berita selepas itu Abu Kassim berkata SPRM akan meneliti setiap cadangan tersebut dan mengambil tindakan selanjutnya.

Ada daripada cadangan tersebut telahpun dilaksanakan, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan