PAS Tidak Harap Lagi Bukan Islam PKR, DAP

Diterbitkan: Ahad, 23 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HARI ini secara rasminya PAS melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dengan jumlah keahlian permulaan seramai 20,000 anggota di seluruh negara. Pelancarannya merupakan lembaran sejarah baru bagi parti Islam itu yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Banyak yang perlu dilakukan PAS untuk menjadikan DHPP itu satu kenyataan dan perjalanannya amat panjang. Sayap baru itu kini dipengerusikan oleh Hu Pang Chaw dan timbalannya, N. Balasubramaniam yang sebelum ini menerajui Kelab Penyokong Pas bagi kaum India.

Pang Chaw sebelum ini adalah Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan - yang bergerak secara bebas atas nama kumpulan penyokong.

DHPP akan bergerak sama seperti sayap sedia ada iaitu Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat. Sayap baru itu bakal memiliki anggota jawatankuasanya di peringkat pusat di samping akan digerakkan ke peringkat negeri selain menjadi wakil dewan dalam majlis-majlis rasmi parti.

Sejak beberapa siri pilihan raya umum lalu, komuniti bukan Islam atau bukan Melayu dilihat sebagai penentu kepada kemenangan mana-mana parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor dan Sibu baru-baru ini jelas menunjukkan kuasa pengundi bukan Islam atau bukan Melayu yang menjadi penentu kepada calon BN atau pembangkang.

Jika di Hulu Selangor, kaum India selain Cina menjadi 'sasaran' parti yang bertanding sementara di Sibu kaum Cina jelas menjadi penentu. Ini gara-gara perpecahan di kalangan pengundi Melayu/Islam kerana ada yang menyokong PAS atau Umno serta sedikit-sedikit calon Bebas, itupun jika calon itu seorang Melayu/Islam.

Berdasarkan pengamatan penganalisis politik, kaum Cina tidak bergantung hidup dengan parti (mungkin ini faktor mereka tidak terus menyokong MCA 100 peratus), amat berbeza dengan gaya politik orang Melayu. Tsunami politik kaum itu menjadi fokus kesemua parti ketika ini dan pastinya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pengundi Cina akan berpihak kepada mana-mana parti yang menjaga kepentingan mereka secara total tanpa mempedulikan siapa di belakang parti itu, yang penting mereka dijaga sebaik mungkin dan periuk nasi tidak diganggu.

Di Hulu Selangor pengundi Cina yang mendominasi kawasan bandar atau pekan memihak kepada calon PKR iaitu Datuk Zaid Ibrahim tapi tewas di tangan P. Kamalanathan, demikianlah juga hal yang serupa di Sibu apabila calon BN, Robert Lau Hui Yew tewas kepada Wong Ho Leng dari DAP dengan majoriti 398 undi. Atas kesedaran dan faktor-faktor penting inilah PAS perlu mengorak langkah dengan 'menaik taraf' kelab penyokong mereka yang dianggotai bukan Islam terus sebagai sayap mereka walaupun belum diputuskan hak anggota dewan baru itu mengundi pada muktamar tahunan parti itu.

Memetik kata-kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad: "Untuk mengundi pada pemilihan parti belum lagi."

Katanya, apa yang menjadi kelebihan ialah ahli-ahli sayap itu kini boleh menghadiri muktamar parti sebagai perwakilan.

Kini tugas ahli DHPP lebih terarah dan fokus iaitu memecahkan tembok yang memisahkan PAS dengan masyarakat bukan Islam. Jika dulu pandangan skeptikal terhadap parti itu sangat tinggi.

Tetapi dengan adanya DHPP, sayap baru itu boleh memainkan peranan mereka menarik bukan Islam bersama-sama parti.

Namun mengatasi semua itu hakikatnya ialah - PAS tidak akan berharap lagi dengan PKR atau DAP yang turut memiliki penyokong pelbagai kaum. Mungkin PAS merasakan tidak ada upaya mengawal penyokong-penyokong bukan Islam kedua-dua sekutunya itu kerana dasar parti yang berbeza-beza kerana itu langkah paling berkesan menubuhkan sayap bukan Islam sendiri.

Nampaknya Pang Chaw dan Balasubramaniam tidak perlu bimbang lagi kerana pelawaan PAS ke atas masyarakat bukan Islam menyertai parti itu memang serius. Tidak lama lagi mereka mungkin berpeluang menjadi sebahagian daripada penggubal dasar dan perlembagaan parti.

Ini diperkuatkan lagi dengan jaminan Abdul Hadi bahawa parti itu memang bercadang membenarkan anggota parti daripada kalangan bukan Islam turut terlibat membuat keputusan dalam parti dengan mengundi pada muktamarnya.

Tetapi beberapa kajian dan penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu khususnya berkaitan perlembagaan parti sebelum keputusan dibuat.

"Kita perlu kepada banyak pindaan perlembagaan berhubung hal ini dan akan disusuli kemudian," katanya selepas melancarkan DHPP.

Perkara itu juga katanya memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Selepas ini PAS mungkin tidak akan bergantung lagi pada DAP atau PKR untuk menggerakkan jentera pilihan rayanya di kawasan majoriti bukan Islam.

Pucuk pimpinan DAP atau PKR perlu menghayati kata-kata Abdul Hadi ini yang menggambarkan rancangan jangka panjang parti itu untuk menjadi parti pelbagai kaum:

"Jika semua kaum dan etnik di negara digabungkan dengan baik, ianya akan menghasilkan natijah yang baik untuk manfaat negara.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS."

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan