Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Anwar Tangguh Perbicaraan

Diterbitkan: Sabtu, 22 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat melibatkan beliau sebagai tertuduh sementara menungggu keputusan rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi, yang juga penuduhnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel hakim terdiri Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa adalah tidak wajar bagi mereka meluluskan penangguhan itu sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Sulong berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika berlangsungnya suatu perbicaraan dan tidak mengetepikan hak pihak terbabit.

"Sekiranya permohonan perayu kepada Mahkamah Rayuan diterima, saksi SP1 (Mohd Saiful) masih boleh dipanggil semula untuk disoal pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman dibuat dan prosiding sewajarnya bagi mencabar keterangan saksi itu masih boleh diadakan," kata beliau.

Hakim Zaharah menggantikan Hakim Mohamed Apandi Ali, yang secara sukarela menarik diri daripada mendengar permohonan itu, selepas peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, membantah kehadiran beliau dengan alasan hakim itu mempunyai hubungan dengan Umno pada masa lampau.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Karpal Singh berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah supaya menetapkan pendengaran rayuan itu sebelum 31 Mei.

Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Mei sebagai tarikh bagi menyambung semula perbicaraan kes itu.

Anwar mahu pihak pendakwaaan memberikan kepada beliau kenyataan saksi Mohd Saiful kerana mendakwa terdapat perkara yang tidak konsisten antara keterangan Mohd Saiful dan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya.

Pihak pembelaan berhujah bahawa Mohd Saiful berkata perbuatan liwat yang didakwa berlaku itu dibuat tanpa kerelaannya tetapi Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan berkaitan hubungan seks secara rela.

Anwar mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan supaya menangguhkan perbicaraan kes itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk berbuat demikian pada 13 Mei.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Dalam hujahnya semalam, Karpal Singh berkata perbicaraan itu akan menjadi sia-sia sekiranya Anwar berjaya dalam rayuannya dan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan ini tidak diluluskan.

Hujah beliau bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan kenyataan tersebut boleh dirayu telah dibantah oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat itu.

Mohd Yusof berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika berlangsungnya satu perbicaraan dan tidak boleh dirayu kerana ia adalah perintah muktamad. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan