Kerajaan Diminta Kaji Pemberian Bonus Dua Bulan Kepada Penjawat Awam

Diterbitkan: Sabtu, 22 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih menaruh harapan kerajaan akan menimbang semula pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam selepas ekonomi negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Presidennya, Omar Osman berkata, beliau berharap rayuan pemberian bonus itu akan dipertimbangkan tahun ini.

"Kami faham bahawa pada tahun lepas, ekoran kegawatan ekonomi global kerajaan terpaksa menolak permintaan tersebut tetapi kami berharap kerajaan akan menimbang semula permintaan kami tahun ini kerana ekonomi negara semakin pulih," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini. Beliau berkata, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ekonomi negara telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini, Cuepacs berharap permintaan bagi pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam akan dapat dipenuhi. Omar berkata, Cuepacs juga mahu kerajaan menimbangkan semula cadangan memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari berbanding 60 hari ketika ini.

"Tempoh 60 hari cuti bersalin sedia ada jelas tidak memadai kepada pekerja wanita kerana kebanyakan daripada mereka cenderung mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak dan menguruskan hal-hal keluarga yang lain," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menimbangkan cadangan tersebut dan walaupun ia telah dibentangkan banyak kali pada masa lalu, tiada sebarang keputusan dibuat sehingga hari ini. "Jika kerajaan fikir tempoh 90 hari terlalu lama, kita harap mereka akan dapat mencari alternatif yang lebih baik daripada tempoh 60 hari cuti bersalin sedia ada," katanya. Beliau juga menggesa kerajaan supaya mengkaji semula elaun perumahan sebanyak RM80 yang diberikan kepada penjawat awam. "Saya telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan menaikkan elaun perumahan kepada RM300 dan kami masih menanti maklum balas daripada mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan