Adun Kerdau Dipindah Ke Wad Biasa Di IJN

Diterbitkan: Sabtu, 22 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Kesihatan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim bertambah pulih dan beliau telah pun dikeluarkan dari unit rawatan rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin, 63, dipindahkan ke wad biasa di IJN sejak Rabu lepas dan tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Beliau bukan sahaja sudah boleh berkomunikasi dan bergurau senda dengan rakan-rakan dan pelawat dengan baik, malah sudah boleh memakan makanan biasa yang lembut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zaharuddin dipindahkan ke IJN pada 9 Mei lepas setelah berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Beliau dimasukan ke Hoshas pada 3 April lepas setelah mengadu sakit di bahagian perut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan