Samy Pecat Mugilan

Diterbitkan: Jumaat, 21 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan telah dipecat dari parti kerana menentang pucuk pimpinan dan Barisan Nasional, kata sumber terdekat MIC semalam.

Pegawai itu mendakwa, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu telah menggunakan kuasa yang ada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti telah menandatangani surat pemecatan Mugilan.

Di bawah artikel 61.2 perlembagaan parti, Presiden dan Timbalannya boleh memecat mana-mana ahli yang bercakap untuk kepentingan diri dan bertindak membelakangkan parti.

Tambah sumber itu, surat tersebut telah pun diserahkan kepada Mugilan petang semalam.

Menurutnya, Samy telah berbincang dengan Palanivel mengenai tindakan Mugilan yang mengkritik Presiden parti itu kelmarin.

Jelas pegawai itu, perlembagaan parti dengan jelas menyebut bahawa setiap ahli tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan yang memburuk-burukkan parti kerana ia bertentangan dengan polisi dan objektif penubuhan parti itu.

Selasa lalu, Samy berkata, Mugilan yang juga Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin MIC kerana melanggar kepentingan parti pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu. Kelmarin, Mugilan mendesak bekas Menteri Kerja Raya itu meletakkan jawatan Presiden MIC sebelum akhir tahun ini kerana kepimpinannya sudah tidak diperlukan oleh masyarakat India.

Beliau berkata, Samy perlu bertanggungjawab terhadap prestasi buruk MIC pada pilihan raya umum, Mac 2008.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan