Keadaan Di Bangkok Beransur Pulih

Diterbitkan: Jumaat, 21 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Keadaan di Bangkok kini beransur pulih seperti biasa selepas bandar raya itu menyaksikan pertempuran berdarah dan perbuatan khianat oleh penunjuk perasaan dalam tempoh 48 jam lepas.

Keadaan di Bangkok dan seluruh negara pada keseluruhannya kini terkawal dan tidak serangan baru dilaporkan hari ini.

Bekalan air dan elektrik di pusat bandar raya ini juga telah pulih selepas dipotong awal minggu ini apabila kerajaan memotong bekalan ke kawasan yang diduduki para penunjuk perasaan antikerajaan.

Perkhidmatan bas di bandar raya ini juga telah beroperasi seperti biasa tetapi perkhidmatan skytrain dan tren bawah tanah masih belum beroperasi kerana perlu menjalani beberapa ujian terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan penumpang.

Api yang marak di kesemua 36 bangunan yang dibakar oleh para penunjuk perasaan telah dipadamkan sepenuhnya walaupun anggota bomba pada awalnya menghadapi kesulitan dalam menjalankan tugas mereka termasuk ditembak oleh militan bersenjata yang menyelinap masuk dalam kumpulan penunjuk perasaan baju merah yang dikategorikan oleh kerajaan sebagai pengganas.

Pemangku jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn hari ini berkata Unit Respons Segera terdiri anggota tentera, polis dan Pentadbiran Metropolitan Bangkok telah ditubuhkan untuk memastikan keamanan dan ketenteraman di ibu negara.

Mereka akan meronda di beberapa kawasan bagi mencegah keadaan huru-hara dicetuskan, tindakan sabotaj dan kegiatan menyalahi undang-undang yang lain, katanya.

Pusat khas juga telah ditubuhkan bagi membantu pemilik perniagaan yang terjejas teruk oleh tunjuk perasaan berkenaan, katanya.

"Mereka yang perlukan bantuan berkenaan aktiviti perniagaan boleh mendaftar di pusat itu dari 3 petang hari ini," katanya. Pusat itu terletak di Pusat Penyelesaian Keadaan Darurat (CRES) di Regimen Infantri Ke-11 di sini.

Sepanjang tempoh peralihan ini, katanya, kerajaan komited untuk memastikan keadaan kembali pulih seperti biasa.

Kira-kira 300 kes vandalisme ke atas telefon awam, papan tanda dan penunjuk arah dan mesin ATM dilaporkan di bandar raya ini sebaik sahaja berakhirnya perhimpunan penunjuk perasaan antikerajaan baju merah di ibu negara selepas kerahan tentera pada Rabu.

Sebanyak 36 bangunan termasuk 17 bank perdagangan, lapan hotel dan sebuah kedai runcit serbaguna, tiga agensi kerajaan dan lapan hartanah persendirian dibakar oleh penunjuk perasaan pada Rabu dan semalam.

Ini termasuk kompleks beli-belah paling mewah dan terbesar di Thailand, CentralWorld, Bursa Thailand dan stesen penyiaran TV Channel 3.

CentralWorld mengalami kerosakan teruk sehingga mungkin perlu diruntuhkan manakala Bursa Thailand dijangka beroperasi semula Isnin depan dan TV Channel 3 kembali ke udara hari ini.

Rusuhan selama 10 minggu bagi mendesak Parlimen dibubarkan yang pada awalnya dilakukan secara aman akhirnya bertukar menjadi ganas akhir-akhir ini apabila ada antara penunjuk perasaan menggunakan senjata api seperti pistol, M16, Ak47, bom dan pelancar roket.

Angka kematian semasa serangan tentera itu ialah 52 manakala 408 orang cedera menjadikan jumlah kematian sepanjang tunjuk perasaan itu sebanyak 81 orang dan 1,357 cedera. Daripada jumlah yang cedera, 16 masih berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dalam ucapannya kepada seluruh negara berkata kerajaan pimpinannya komited untuk melaksanakan proses damai peringkat kebangsaan dalam menyelesaikan masalah politik, ekonomi dan sosial semasa di dalam negara.

Proses lima perkara itu antara lain menggariskan pembaharuan peringkat kebangsaan dalam menyelesaikan ketidakadilan dalam struktur ekonomi dan politik dan memastikan peranan media sebagai medium konstruktif.

Kerajaan komited untuk menubuhkan badan bebas bagi menyiasat punca sebenar berhubung mereka yang terbunuh dan cedera setakat ini seperti digariskan dalam proses damai itu.

Kerajaan akan membenarkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang, kata Abhisit dan menurutnya kerajaan akan bersikap telus dalam mengendalikan perkara itu.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan dalam memulihkan ketenteraman dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu semasa tempoh sukar itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan