Iktiraf Potensi Pekerja Wanita Islam - Shahrizat

Diterbitkan: Jumaat, 21 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Negara-negara Islam harus mengiktiraf potensi tenaga kerja wanita Islam ke arah peningkatan ekonomi negara yang seimbang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, laporan terbaru Program Pembangunan PBB (UNDP) menyebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat meningkat sebanyak dua hingga empat peratus setiap tahun sekiranya pekerja wanita meningkat dari 47 peratus sekarang kepada 70 peratus.

Katanya, ia perlu dilakukan menerusi penambahbaikan polisi dan amalan perniagaan baik seperti pengurusan waktu bekerja fleksibel, cuti rehat bersalin dan sokongan penjagaan kanak-kanak mahu pun warga emas oleh majikan.

"Kementerian saya kini meneruskan usaha memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari.

"Kali ini, saya berharap kesinambungan usaha kami sejak empat tahun lalu untuk mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung dasar itu mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Bengkel Minda Pemimpin sempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kuala Lumpur di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) di sini, hari ini.

Hadir sama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid; Pengerusi Jawatankuasa Perniagaan dan Ekonomi Majlis Muslim Britain (MCB), Mohamed Amin dan Dekan ISTAC, Prof. Dr Ibrahim Zein.

Sementara itu, Shahrizat turut menyarankan agar sumber tenaga di kalangan kelompok sosial bukan tradisional seperti ibu bekerja, pekerja matang dan kumpulan minoriti seumpamanya dimanfaatkan sewajarnya sebagai sumber kemahiran yang mampu memacu pembangunan ekonomi lestari.

"Ini bagi menangani kekurangan tenaga kerja berkemahiran menggunakan alternatif sedia ada, iaitu pekerja berpengalaman yang matang dan berusia tapi masih mampu menyumbangkan kemahiran serta kepakaran selama bertahun-tahun," tambah beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan