Tiada Perubahan Dalam Rancangan Bersara Samy Vellu, Mugilan Dikenakan Tindakan

Diterbitkan: Khamis, 20 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, beliau berpegang dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan dalam tempoh "lapan atau sembilan bulan" sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.

"Tak ada apa-apa yang boleh mengubah fikiran saya. Saya akan berpegang dengan keputusan saya," katanya ketika ditanya mengenai gesaan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan agar beliau berundur dengan segera.

Mugilan hari ini dipetik sebagai berkata bahawa Samy Vellu perlu berundur sekarang atau sebelum akhir tahun ini untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden, Datuk G.Palanivel mengambil alih jawatan itu.

Sebagai balasan, Samy Vellu berkata, Mugilan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin MIC kerana melanggar kepentingan parti pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu.

"Sebenarnya beliau bertindak melulu dan mendahului keputusan parti untuk mengambil tindakan ke atasnya kerana melanggar kepentingan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Hulu Selangor," katanya.

"Mugilan merupakan salah seorang yang telah menentang BN dalam pilihan raya kecil selepas gagal dalam usaha untuk dipilih sebagai calon," kata Samy Vellu.

Beliau berkata, sebenarnya parti itu mahu mengambil tindakan ke atas Mugilan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi menangguhkan keputusan itu.

Samy Vellu berkata, Mugilan bertindak sebagai bahan jenaka untuk "sesetengah orang", dan menghalang Palanivel daripada bertanding semula bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil itu.

Pencalonan Mugilan bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor dilaporkan disenangi pemimpin Barisan Nasional tetapi pencalonannya dibantah oleh MIC, yang membawa kepada BN memilih Ketua Penerangan MIC P.Kamalanathan yang akhirnya memenangi kerusi itu.

Samy Vellu berkata, keputusannnya untuk mengosongkan jawatan presiden lebih awal daripada Mei 2012 dibuat "atas kerelaan saya sendiri dan saya tidak didesak oleh oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan".

"Saya akan terus memastikan MIC bebas daripada orang yang ingin memusnahkannya. Kami tidak mahu mereka yang hanya semata-mata diperalatkan orang tertentu," katanya merujuk kepada Mugilan.

Samy Vellu berkata, masyarakat India mengetahui apa yang telah disumbangkannya untuk mereka menyerahkannya kepada mereka untuk menjadi hakim.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam berkata, keputusan Samy Vellu tidak perlu dipersoalkan dan mesti dihormati semua pihak.

"Presiden MIC itu telahpun membuat satu keputusan dan beliau telah memaklumkannya kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN). Semua orang perlu menghormati keputusannya untuk membenarkan beliau meneruskan rancangan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata, dengan mempersoal keputusan Samy Vellu hanya akan menjejaskan kestabilan MIC dan mengganggu tumpuan ke atas isu yang lebih mendesak bagi masyarakat India.

Beliau berkata, Mugilan tidak sepatutnya meminta Samy Vellu untuk berundur dengan segera. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan