Martha Stewart Bantu Promosi Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 20 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selebriti program bual bicara terkenal, Martha Stewart akan mempromosikan Malaysia kepada penduduk Eropah dan Amerika Syarikat sepanjang lawatan kerjanya ke negara ini.

Menurut Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Stewart mempunyai dua juta peminat di seluruh dunia dan selebiriti terkenal Amerika itu akan sentiasa mengemaskini maklumat mengenai aktiviti serta program yang disertainya di Malaysia melalui jaringan sosial, Twitter.

"Stewart akan menghantar informasi seperti destinasi menarik, pelbagai makanan istimewa, kebudayaan serta kraftangan yang terdapat di negara ini melalui Twitter beliau.

"Ini satu pendedahan yang sangat baik bagi Malaysia supaya kita lebih dikenali di seluruh dunia.

"Hal ini kerana tidak ramai yang mengetahui mengenai keistimewaan yang terdapat Malaysia. Oleh itu, kedatangan Stewart sebagai ikon antarabangsa di Amerika secara tidak langsung mempromosikan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Stewart di kediamannya di sini hari ini.

Stewart dan Rosmah menghabiskan masa bersama kira-kira dua jam.

Rosmah berkata, kedatangan Stewart ke negara ini dapat memberikan lebih publisiti kepada Malaysia yang sememangnya terkenal dengan pelbagai budaya, tradisi serta flora dan fauna.

Jelasnya, dengan status selebriti terkenal yang ada pada wanita itu kedatangannya secara tidak langsung boleh menjadikan negara ini sebagai destinasi percutian pilihan.

Sementara itu, Rosmah memberitahu, selebriti berkenaan sangat menggemari makanan tempatan seperti roti canai, nasi lemak dan apam balik yang dihidangkan kepada beliau semasa melakukan kunjungan hormat berkenaan.

Stewart yang tiba di Malaysia semalam telah mengadakan kunjungan hormat dan menghadap Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di kediaman rasmi baginda di Istana Terengganu di sini sambil melihat sendiri kaedah tradisional menenun songket.

Stewart akan berada di negara ini selama lima hari. Beliau akan ke Melaka sebelum berlepas ke Borneo dari 23 hingga 26 Mei ini.

Kedatangan pertama kali selebriti terkenal Amerika Syarikat itu ditaja oleh Pelancongan Malaysia.

Esok beliau akan muncul dalam rancangan bual bicara Breakfast Show yang akan disiarkan secara langsung pada pukul 9 pagi esok di saluran NTV7.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan