Majikan, Pembantu Rumah Indonesia Boleh Runding Cuti - Najib

Diterbitkan: Khamis, 20 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata majikan yang mengambil pembantu rumah warga Indonesia masih boleh merundingkan soal cuti sehari dalam seminggu dengan pekerja terbabit.

Perdana Menteri berkata jika kedua-dua pihak bersetuju, maka pembantu rumah itu tidak perlu mengambil cuti tersebut dan sebaliknya dia dibayar setimpal dengan kadar upahnya.

"Kalau kedua-dua pihak setuju, (agar pembantu rumah) tidak ambil cuti satu hari seminggu itu, ia boleh diganti dengan sedikit bayaran. Kalau rasa bimbang, boleh runding. Kalau kedua-dua pihak setuju tak payahlah dia (pembantu rumah) keluar cuti sehari dalam seminggu," katanya kepada pemberita.

Najib berkata demikian semasa ditanya mengenai kebimbangan akan wujud masalah sosial apabila pembantu rumah warga Indonesia diberikan cuti sehari dalam seminggu seperti yang dipersetujui baru-baru ini.

Terdahulu Najib menyempurnakan majlis pecah tanah projek bangunan ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Chan Sow Lin di sini pada hari Rabu.

"Tapi kena tolak ansur dalam hal ini, kalau tidak macam mana nak dapat bekalan pembantu rumah," kata Najib.

Dua hari lepas Malaysia dan Indonesia menandatangani satu Surat Hasrat berkaitan bidang tenaga kerja yang antara lain mengkehendaki majikan Malaysia memberi perlepasan atau cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu asing yang bekerja dengan mereka.

Bagaimanapun sekiranya terdapat persetujuan antara majikan Malaysia dan pekerja itu yang tidak ingin mengambil kelepasan tersebut, pembantu rumah itu akan dibayar dengan setimpal mengikut kadar upahnya.

Najib juga berkata keperluan menggaji pembantu rumah di Malaysia adalah sesuatu yang semakin tidak dapat dielak oleh banyak keluarga, terutama di mana suami dan isteri masing-masing bekerja.

Menurut Perdana Menteri dalam keadaan pasangan suami isteri bekerja, mereka perlu sekurang-kurangnya seorang pembantu rumah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan