RM9.5 Juta Baiki Masjid Negara

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Shaziman Abu Samad dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengadakan lawatan ke Masjid Negara di sini hari ini. - Foto The Star MUNIRAH MUZAMER
Datuk Shaziman Abu Samad dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengadakan lawatan ke Masjid Negara di sini hari ini. - Foto The Star MUNIRAH MUZAMER

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukkan segera berjumlah RM9.5 juta bagi kerja-kerja membaik pulih kerosakan pada Masjid Negara di sini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, peruntukkan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak baru-baru ini yang mahukan Masjid Negara dibaik pulih secepat mungkin.

Menurutnya, kerja pembaikan akan bermula pada bulan depan oleh kontraktor bertauliah dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

"Sedia maklum Masjid Negara telah berusia lebih 50 tahun dan pembaikan terhadap bangunan warisan negara ini perlu dilakukan bagi memastikan ia sentiasa cantik dan selesa," katanya selepas membuat lawatan di Masjid Negara di sini hari ini.

Kata Shaziman, jumlah peruntukan itu mungkin akan ditambah mengikut keadaan semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan.

"Kita akan menfokuskan pada bahagian yang mengalami kerosakan, sistem perparitan, dan menambah bilangan papan tanda di kawasan masjid bagi kemudahan jemaah.

Beliau turut memberitahu sistem pembesar suara di masjid itu juga akan dipertingkatkan bagi membolehkan azan dan khutbah yang diadakan dapat didengar dengan lebih jelas oleh jemaaah.

Bagaimanapun, pembaikan Masjid Negara tidak akan mengubah struktur bangunan itu kerana ia telah diwartakan sebagai bangunan warisan maka sebarang perubahan tidak boleh dilakukan.

Sementara itu, Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad ketika diminta mengulas berkata, beliau bersyukur kerana kerajaan telah memberi peruntukkan yang besar bagi membaik pulih masjid itu.

Sebelum itu Shaziman yang diiringi oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Syaikh Ismail dan rombongan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) melawat kawasan masjid, Makam Pahlawan dan kawasan sekitar bagi mendapatkan gambaran mengenai kerosakan yang terdapat pada bangunan warisan negara itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan