Peguam Syarie: Jamil Khir Sindir Peguam Bukan Islam Ambil Tindakan Mahkamah

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini secara sinis mempersoalkan agenda seorang peguam wanita bukan Islam mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Jamil Khir berkata, walaupun kes berkenaan telah memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Sivil untuk semakan semula, beliau menegaskan syarat wajib untuk menjadi peguam syarie mestilah beragama Islam.

"Kita tidak memberi apa-apa halangan, cuma untuk menjadi peguam syarie kita mesti faham bahawa syarat utama adalah mesti beragama Islam," katanya kepada media selepas membuat lawatan ke Masjid Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya yakin perundangan di negara ini akan melihat perkara itu secara serius dan mengikut garis panduan yang ditetapkan sama ada untuk menerima atau tidak kes tersebut.

"Jika dia masuk Islam tidak ada masalah untuk menjadi peguam syarie, apa yang penting peraturan mesti dipatuhi," katanya.

Semalam, seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Sivil di sini bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk membolehkan beliau bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Wanita yang dikenali sebagai Victoria, memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak Majlis Agama Islam melalui jawatankuasa peguam syarie pada 2006.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan