Istana Kelantan Belum Terima Laporan Panel Perubatan

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pejabat Istana Kelantan masih belum menerima laporan perubatan yang dijalankan panel terdiri 11 pakar perubatan terhadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, sehingga kini laporan berkenaan belum diperoleh walaupun pemeriksaan terhadap Sultan Kelantan siap dijalankan sebelum baginda dibenarkan pulang ke Istana Mahkota pada 9 Mei lalu.

"Pihak Pejabat Istana Kelantan masih belum terima lagi laporan berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Ditanya sama ada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra juga masih belum meneliti laporan berkenaan, Abdul Halim berkata beliau kurang pasti mengenai perkara berkenaan.

"Saya tak pasti tentang itu, saya juga tak tahu bagaimana status laporan berkenaan sehingga kini.

"Tapi apa yang saya tahu pihak Pejabat Istana Kelantan masih belum menerima laporan berkenaan," katanya.

Tuanku Ismail dimasukkan ke Wad Diraja HUSM pada 4 Mei lalu bagi membolehkan pakar-pakar yang dilantik tersebut menjalankan pemeriksaan mengenai status kesihatan baginda.

Penglibatan pakar-pakar berkenaan yang mendapat perkenan Pemangku Raja buat pertama kali berpeluang melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan Sultan Kelantan sejak dibawa pulang ke negeri ini pada 4 Mac lalu.

Bagaimanapun selepas lima hari menerima rawatan di HUSM, Pemangku Raja memberi perkenan supaya ayahanda baginda dibenarkan pulang ke Istana Mahkota.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan