Kumpulan Kerja Ditubuh Bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia Indonesia: Najib

Diterbitkan: Selasa, 18 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Beberapa kumpulan kerja akan ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan melawat republik itu pada bulan depan untuk mengenal pasti bidang-bidang dan bidang tugas kumpulan kerja tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini, Najib berkata Suruhanjaya Bersama ini hendaklah melaporkan kemajuan yang dicapai oleh kumpulan-kumpulan kerja ini setiap tiga bulan kepada pemimpin kedua-dua buah negara.

Najib berkata, kedua-dua pihak bersetuju supaya Suruhanjaya Bersama yang sedia ada itu menjadi mekanisme untuk menyelia dan juga untuk mengambil tindakan menyelesaikan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

"Jadi kedua belah pihak merasa bahawa Suruhanjaya Bersama kita perlu kembali bersemangat supaya lebih banyak isu dapat diselesaikan," katanya.

Selain itu katanya, Suruhanjaya Bersama tersebut juga merupakan mekanisme untuk mencari bidang-bidang baru yang boleh diperbincangkan untuk meningkatkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta.

Susilo tiba hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh antara pucuk pimpinan kedua-dua negara dan turut dijadual berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan