KDN Berjaya Kurangkan Kadar Jenayah Lebih Daripada Sasaran

Diterbitkan: Selasa, 18 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam tempoh itu Jenayah Indeks menurun sebanyak 15.3 peratus dan kadar Jenayah Jalanan turun sebanyak 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Tugas ini bukan mudah, memandangkan dari tahun 2006 sehingga 2009, kadar jenayah menunjukkan trend yang meningkat.

"Bagaimanapun, kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian dan pelancaran logo 1Malaysia KDN di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata ini menunjukkan kementerian telah mengenalpasti secara tepat 'kawasan panas' jenayah, faktor yang boleh menyebabkan peningkatan jenayah dan menetapkan fokus yang betul melalui lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurangan Jenayah dan 55 inisiatif yang dirangka melalui makmal jenayah.

Pada sidang akhbar kemudian, Hishammuddin berkata Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing petang ini akan meneliti laporan akhir pelaksanaan Makmal Pengurusan Warga Asing yang telah berlangsung selama sebulan bermula 23 Mac lepas.

Dapatan daripada makmal itu akan dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini, katanya.

Sementara itu, Idris berkata hasil Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk jenayah cemerlang bagi suku pertama dan apa yang polis dan kementerian lakukan dalam suku pertama adalah di luar jangkaan.

"Untuk sepanjang tahun, kita jangkakan indeks jenayah turun sebanyak lima peratus, tetapi dalam suku pertama, kita telah menyaksikan keseluruhan jenayah turun sebanyak 15 peratus.

"Ini lebih tinggi daripada sasaran sepanjang tahun dan untuk jenayah jalanan, kita sasarkan penurunan sebanyak 20 peratus, tetapi dalam suku pertama kita menyaksikan penurunan sebanyak 39 peratus. Ini adalah penurunan yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata penempatan 14,444 anggota polis, 3,160 Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di 50 kawasan panas menyebabkan penurunan yang banyak.

"Jadi kita akan bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan bukan sahaja menempatkan lebih ramai anggota polis dan pasukan sukarela di jalan-jalan, tetapi juga akan memasang lebih banyak CCTV," katanya.

Idris berkata kira-kira 500 CCTV akan dipasang menjelang akhir tahun ini di semua kawasan panas. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan