Sultan Kelantan: Peguam Akan Pohon Tarikh Pendengaran Awal - Berita Semasa | mStar

Sultan Kelantan: Peguam Akan Pohon Tarikh Pendengaran Awal

Diterbitkan: Isnin, 17 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Peguam yang mewakili Sultan Kelantan akan menulis surat kepada Ketua Hakim Negara bagi memohon beliau mempercepatkan tarikh pendengaran writ habeas corpus yang mempunyai kaitan dengan baginda.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu pemberita beliau masih belum dimaklumkan sama ada hakim kelima telah pun dilantik atau sebaliknya, bagi menyertai panel lima anggota Mahkamah Khas yang akan mendengar perkara itu.

"Saya harap Ketua Hakim Negara akan mengambil langkah yang sepatutnya seberapa segera bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

"Bagi Duli Yang Maha Mulia sendiri, baginda masih berada dalam kawalan di Istana dan kami berhasrat untuk meneruskan perkara ini secepat mungkin," kata Gobind Deo.

Katanya, beliau belum menerima sebarang afidavit balasan daripada Peguam Negara, yang mewakili responden Ketua Polis Negeri Kelantan, Ketua Polis Negara, pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan persekutuan.

Isnin lepas, tarikh pendengaran writ habeas corpus di Mahkamah Khas ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak kerana kekurangan kuorum dan juga bagi membolehkan responden memfailkan afidavit mereka.

Writ itu difailkan bagi memohon membawa Sultan Kelantan keluar dari hospital dan membenarkan baginda mendapat rawatan perubatan mengikut pilihan baginda.

Permohonan itu disokong oleh afidavit oleh putera ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Sebelum ini, baginda mendapat rawatan jantung selama sembilan bulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sebelum pulang ke tanah air pada Mac tahun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan