PRK Sibu: SPR Nafi Lengahkan Pegumuman Keputusan

Diterbitkan: Isnin, 17 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan DAP bahawa mereka sengaja melengah-lengahkan pengumuman keputusan undi pos pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu di sini malam tadi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata agen parti itu sebenarnya yang telah menghalang pegawai-pegawai suruhanjaya itu daripada membawa keluar peti undi pos yang sudah dikira di Tingkat 9, Wisma Sanyan, untuk dibawa ke Dewan Suarah Sibu, kira-kira tiga kilometer dari situ, untuk penjumlahan undi.

Ekoran itu, penolong pegawai pengurus pilihanraya yang mengendalikan urusan pengiraan undi pos terpaksa memanggil polis untuk mengawal penyokong parti tersebut, katanya kepada Bernama serta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

"Inilah kali pertama saya melihat keadaan seperti ini berlaku selain pegawai-pegawai kerap diganggu agen parti," katanya.

Ekoran itu, keputusan pilihanraya kecil tersebut hanya dapat diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wong See Meng kira-kira pukul 11 malam tadi, walaupun SPR sebelumnya menjangka keputusan dapat diumumkan pada pukul 9 malam.

Calon DAP, Wong Ho Leng, memenangi pilihanraya kecil itu dengan majoriti 398 undi setelah memperolehi 18,845 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron, meraih 232 undi.

Bilangan undi pos pada pilihan raya ini ialah sebanyak 2,429 undi.

Abdul Aziz juga kesal dengan sikap beberapa pemimpin pembangkang dari luar Sarawak, yang menurutnya tidak menghormati peraturan semasa berada dalam dewan penjumlahan undi.

"Mereka cuba menunjukkan mereka boleh membuat apa sahaja tanpa perlu mengikut peraturan dan ini tidak baik dan tidak harus ditunjukkan kepada orang tempatan di sini yang tinggi semangat hormat-menghormati," katanya.

Secara keseluruhan, Abdul Aziz berkata pilihanraya kecil di Sibu boleh disifatkan antara yang terbaik berbanding pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Selasa, 25 November 2014 8:48 PM

Ahli Geng Mamak Ditembak Mati

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan