Mohamad Nur Disebut-sebut Ketua SPAD

Diterbitkan: Isnin, 17 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penasihat Khas Kementerian Pengangkutan, Mohamad Nur Kamal disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurut sumber, jawatan Ketua Pegawai Operasi pula dijangka disandang oleh Shahril Mokhtar yang merupakan bekas Pengurus Besar Perancangan Korporat dan Strategi Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL).

Senarai pemegang jawatan lain masih belum dimuktamadkan, kata sumber tersebut.

Sehubungan itu, katanya, usaha pengrekrutan sedang giat dijalankan.

"Mereka masih belum mengenalpastikan lokasi pejabat. Petanda menunjukkan ibu pejabat akan ditempatkan di Kuala Lumpur, kerana di situlah operator pengangkutan bertumpu," katanya.

Sumber lain menambah bahawa walaupun SPAD ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun, ia hanya akan beroperasi tiga bulan kemudian.

Objektif SPAD adalah untuk memperbaiki pengangkutan awam dan mengawal perkara-perkara berkenaan operasi terminal pengangkutan awam serta kenderaan untuk perkhidmatan awam, pelancongan dan barangan.

Penubuhan SPAD juga akan menggabungkan agensi kerajaan seperti Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LKPK) dan Jabatan Perkhidmatan Kereta Api di bawah bumbung satu Suruhanjaya.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata Mohamad Nur berpengetahuan luas tentang isu berkaitan pengangkutan.

"Saya pernah berjumpa dengannya tiga hingga empat kali. Saya optimistik. Beliau tahu tentang apa yang dilakukannya. Jika tidak, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat tidak akan melantiknya sebagai penasihat.

"Dia senang didekati dan menyebarkan aura bahawa dia sanggup mendengar isu-isu yang melibatkan pengusaha dan berusaha menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Sementara itu, Ashfar berkata, Shahril turut merupakan seorang yang senang didekati.

Katanya, dia juga berminat menyelesaikan masalah yang membelenggu industri pengangkutan.

"Shahril yang berasal dari sektor swasta ialah petanda yang baik. Terdapat keseimbangan - seorang penjawat awam manakala seorang lagi dari sektor swasta."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan