Lapan IPT Diberi Kuasa Akreditasi Program Pengajian

Diterbitkan: Isnin, 17 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lapan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dianugerahkan status swaakreditasi, menjadikan mereka IPT pertama diberi kuasa mengakreditasi sendiri program pengajian yang ditawarkan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata swaakreditasi itu membolehkan kesemua IPT terbabit membuat penilaian kualiti program mereka tanpa melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Swaakreditasi ini dianugerah kepada empat IPT awam dan empat IPT swasta membabitkan 554 program pengajian, katanya selepas majlis penyampaian sijil status swaakreditasi itu, di sini hari ini.

Ianya bagaimanapun tidak membabitkan program profesional yang memerlukan pengiktirafan badan profesional berkaitan.

Mohamed Khaled berkata empat IPT awam itu ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia, manakala IPT swasta pula ialah Monash University Sunway Campus, University of Nottingham Malaysia Campus, Swinburne University of Technology Sarawak dan Curtin University of Technology Sarawak.

"Berdasarkan audit MQA yang dijalankan sepanjang September 2009 sehingga Mac lepas kesemua IPT itu mempunyai sistem kualiti dalaman yang dapat menjamin kualiti proses pendidikan serta kelayakan yang dianugerahkan," katanya.

Bagi memastikan kualiti program pengajian terjamin, Mohamed Khaled berkata kesemua IPt terbabit perlu membangunkan sistem akreditasi sendiri yang menyamai sistem MQA termasuk sistem akreditasi sementara sebelum sesuatu program ditawarkan.

Beliau berkata MQA akan mengaudit sistem akreditasi dalaman IPT berkenaan setahun kemudian, diikuti audit pemantauan sekurang-kuranngnya setiap lima tahun seperti yang ditetapkan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan