Komuter Sentul - Batu Caves Beroperasi Julai Ini

Diterbitkan: Isnin, 17 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari stesen Sentul ke Batu Caves akan beroperasi sepenuhnya pada Julai ini dengan tambahan empat stesen baru.

Pengurus Besar Perkhidmatan Kargo Azman Ahmad Sharabi berkata dari stesen Sentul, perkhidmatan komuter dengen kekerapan pada setiap 15 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu biasa itu, akan berhenti di stesen di Taman Wahyu, Kampung Batu, Batu Cantonmen dan perhentian terakhir di stesen Batu Caves.

"Operasi perkhidmatan komuter KTMB hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya Julai ini kerana masih terdapat penyelarasan sistem dalam meningkatkan infrastruktur, terutamanya di bahagian perkhidmatan tiket," katanya selepas melancarkan Tren Kargo Simen Lokomotif Berkuasa Tinggi di laluan Sentul-Batu Caves di sini hari ini.

Sebelum ini, KTMB pernah menyediakan perkhidmatan khas ke stesen Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada 1997 dan 2004, selain perkhidmatan untuk mengangkut simen dan kontena.

Sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi projek landasan lanjutan laluan KTM Komuter sepanjang tujuh kilometer dari Sentul ke Batu Caves, yang melibatkan pembinaan lintasan landasan dan menaik taraf stesen di Batu Caves.

Azman berkata landasan itu boleh dilalui lokomotif berkuasa tinggi yang mempunyai kapasiti enjin 3,300 kuasa kuda bagi menarik muatan seberat 2,500 tan, katanya.

Dengan lokomotif baru, kargo KTMB yang dahulunya boleh membawa muatan 25 gerabak, kini berupaya membawa muatan maksimum sehingga 40 gerabak dan ini mampu menjimatkan minyak diesel, tenaga kerja serta masa perjalanan lebih singkat, katanya.

Azman berkata KTMB juga sedang mengkaji kaedah untuk mengoptimumkan penggunaan tren kargo lokomotif baru bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan lebuh raya akibat lori membawa muatan berat.

Katanya KTMB juga mengkaji untuk menyediakan perkhidmatan kargo yang boleh membawa bahan-bahan merbahaya seperti bahan berasaskan petroleum dan bahan kimia, katanya.

"KTMB sedang berbincang dengan pakar-pakar pembuat polisi pengangkutan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Darat dan Kementerian Pengangkutan untuk melihat kemungkinan perkhidmatan ini disediakan," kata Azman.

Mengenai kejadian lima gerabak KTMB yang membawa muatan getah keping tergelincir dari landasan di Felda Rimba Mas, kira-kira 2.2 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand pada 6 Mei lepas, Azman berkata siasatan masih berjalan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan