Kelantan Mahu Bina Litar Lumba Bernilai RM10j

Diterbitkan: Ahad, 16 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Kelantan bercadang membina sebuah litar perlumbaan kereta dan motosikal seluas 19.2 hektar bernilai RM10 juta di Tanah Merah.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata projek tersebut dilakukan dengan usahasama sebuah syarikat swasta.

"Dengan adanya gelanggang perlumbaan permotoran ini, ia membolehkan remaja atau peminat permotoran jenis laju membuktikan kebolehan mereka memandu dengan menggunakan gelanggang rasmi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Kembara Jelajah Kota Baharu yang disertai 60 kereta sport mewah, di sini semalam.

Menurut beliau, sebelum ini ramai peminat lumba kereta dan motosikal, termasuk golongan Mat Rempit tidak mempunyai gelanggang khas untuk melakukan aktiviti sukan permotoran.

"Oleh itu pembinaan gelanggang ini nanti bukan sahaja dapat menghindarkan peminat lumba kereta dari menyalah guna jalan raya sebagai tempat perlumbaan, malah boleh mengatasi masalah gejala sosial remaja seperti Mat Rempit," kata Nik Aziz. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan