BN Tetap Dekat Di Hati Pengundi Iban

Diterbitkan: Sabtu, 15 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Kehebatan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee turut mewarnai kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu apabila sebuah lagu nyanyian beliau dalam filem "Tiga Abdul", didendangkan oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan membuat sedikit perubahan pada seni katanya yang berbunyi "Tolong kami, bantu kami undi Barisan Nasional".

Ketua Menteri Sarawak ini memang diketahui ramai sebagai peminat setia Seniman Agung itu dan sebaik saja beliau selesai mendendangkan lagu berkenaan dengan penuh penghayatan, hadirin memberi tepukan yang bergemuruh kepada beliau.

Abdul Taib mendendangkan lagu adaptasi itu ketika mengakhiri lawatan beliau ke beberapa rumah panjang di kawasan pilihan raya kecil berkenaan di Rh. Dick di Kilometer 12, Jalan Ulu Oya Road di sini petang semalam.

Kawasan Parlimen Sibu mempunyai 110 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri Bawang Assan dan 29 di kawasan Dewan Undangan Negeri Nangka. Bagaimanapun, kawasan Dewan Undangan Negeri Pelawan, yang turut terletak dalam kawasan itu, tidak mempunyai sebarang rumah panjang dan majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina.

Sejak hari penamaan calon, Abdul Taib telah melawat 10 rumah panjang terpilih.

Walaupun secara tradisi, rumah panjang merupakan kubu BN, tetapi kebelakangan ini, orang kuat DAP dan PKR seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berkunjung ke beberapa buah daripadanya.

Sebanyak 12,050 anggota masyarakat Iban yang merupakan pemilih berdaftar di kawasan parlimen berkenaan dianggap sebagai "simpanan tetap" BN dalam setiap pilihan raya.

Ini terbukti apabila tidak banyak rumah panjang yang dihiasi dengan bendera atau lambang DAP, tetapi semuanya memasang bendera BN dan poster calon parti gabungan itu.

Bagaimanapun, pembangkang tetap cuba memancing pengundi Iban di kawasan itu dengan memainkan isu berkaitan tanah Hak Adat Pribumi (NCR).

"Menukar kerajaan adalah sesuatu yang agak keterlaluan bagi kami," kata bekas angota Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Johnny Weis Engkamat, 60, yang juga anak jati Bawang Assan.

Beliau berkata secara umumnya, rakyat masih mahu kerajaan sedia ada terus berkuasa kerana ia telah menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan masyarakat.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) William Mawan berkata langkah menimbulkan isu NCR kini tidak lagi dapat memancing sokongan pengundi.

"Kami tahu kerajaan persekutuan sedang mengambil langkah bagi menyelesaikan isu ini. Ia telah menjadikan program pembangunan tanah NCR sebagai sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Sarawak," katanya.

Semasa kunjungan beliau, Abdul Taib menegaskan tentang pentingnya bagi penduduk rumah panjang terus menyokong kerajaan sedia ada.

Sebagai ahli politik berwibawa, beliau sendiri melaksanakan projek khusus bagi setiap rumah panjang berdasarkan keperluan penduduknya.

Dalam kunjungan itu juga, Abdul Taib tidak pernah menolak permintaan penduduk, khususnya kaum wanita, untuk bergambar bersama mereka.

Walaupun layanan yang beliau berikan itu mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi ia penting bagi BN memandangkan wanita merupakan 53 peratus atau 28,449 daripada keseluruhan 54,695 pemilih berdaftar di Sibu.

Kemeriahan sambutan Gawai Dayak yang semakin dirasai dan pengumuman yang dibuat tentang pelaksanaan pelbagai projek di kawasan pilihan raya itu, besar kemungkinan mendorong masyarakat Iban untuk terus memberi sokongan mereka kepada BN pada pilihan raya kecil ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan