Usahawan Bumiputera Perlu Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Keusahawanan

Diterbitkan: Jumaat, 14 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyeru usahawan Bumiputera di negara ini melengkapkan diri mereka dengan ilmu perniagaan dan keusahawaan bagi memperkukuhkan reputasi mereka dalam bidang tersebut.

Menurutnya, bukanlah sesuatu yang merugikan sekiranya usahawan tempatan mengambil inisiatif untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kedua-dua bidang itu yang kini sudahpun dijadikan satu bidang pengajian di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

“Kelemahan seperti ini bukan sahaja ada pada orang Melayu tetapi golongan bukan Bumiputera pun ada kelemahan dalam bidang perniagaan.

"Ada juga syarikat berkait kerajaan (GLC rugi besar. Maknanya bukan hanya individu, semua pihak mesti melihat kepada kelemahan dari segi ilmu keusahawanan dan perniagaan.

"Tolong lengkapkan diri dalam bidang ini, kalau kita menguasai lebih banyak ilmu tidak ada yang merugikan malah lebih menguntungkan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Prsiden Dewan Perniagaan Melayu (DPMM), Syed Ali Alattas.

Mohd Najib berkata, ahli perniagaan juga perlu menjaga reputasi mereka agar syarikat kewangan berasa yakin untuk memberikan bantuan modal bagi membantu perniagaan mereka.

"Soal kepercayaan sangat penting, kata mesti dikota, janji perlu ditunaikan, inilah reputasi kita. Kalau kita seorang ahli perniagaan yang boleh dipercayai banyak pihak pasti ingin membantu kita.

"Kalau orang Melayu nak berjaya dalam bidang perniagaan tolong perkukuhkan reputasi kita dalam bidang perniagaan sebagai seorang usahawan,” katanya.

Justeru, Moha Najib menyeru masyarakat, khususnya ahli DPMM, supaya mengemukakan kepada kerajaan sekiranya mempunyai kaedah atau model yang lebih baik dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan kerajaan.

Mohd Najib berkata walaupun MBE mengekalkan matlamat yang sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), namun beberapa aspek telah disusun semula bagi memastikan ia adil kepada semua pihak.

"Mungkin yang menjadi pertikaian dan perbezaan pendapat ialah kaedah yang digunakan dan model pelaksanaannya, sama ada ianya berkesan, dalam erti kata ia adil kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera. Itu sahaja yang perlu diperkemaskan," katanya.

Beliau menambah, kerajaan akan memperkenalkan Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) dalam masa terdekat ini bagi meningkatkan ekonomi masyarakat Bumiputera di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, 12 hingga 14 bidang keberhasilan utama akan diperkenalkan.

"Kita akan tentukan insentif yang sesuai tetapi ia mesti disertai dengan ilmu dan nilai yang lain supaya golongan Bumiputera akan berjaya," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan