Polis Ingatkan Penonton Konsert '12 Hours' Tidak Kecoh

Diterbitkan: Jumaat, 14 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan penonton konsert '12 Hours' di Bukit Kiara Equestrian Resort Indoor Arena di sini yang bakal berlangsung malam esok supaya tidak menimbulkan sebarang masalah atau kekecohan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supritendan Azri Abdul Rahman berkata pihaknya akan menempatkan 50 anggota serta menyediakan sebuah balai polis bergerak sepanjang konsert berlangsung bagi memudahkan sebarang aduan dibuat.

"Saya juga ingin menasihatkan penonton agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengakibatkan ketegangan dan membahayakan keselamatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang sengaja meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan kerana boleh menyebabkan kesesakan lalu-lintas.

"Kita akan mengeluarkan saman dan menunda kenderaan penonton yang diletakkan sesuka hati sehingga menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Konsert itu, yang berlangsung dari 7 hingga 12 malam, akan menampilkan artis-artis popular antarabangsa seperti Pittbull, Benny Benassi, Roger Shah dan Lisa Lashes di hadapan kira-kira 5,000 penonton.

Bagi mengelak kesesakan lalu-lintas, penganjur konsert mengambil langkah dengan menyediakan perkhidmatan bas perantara bagi memudahkan penonton ke lokasi konsert.

Ketua Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Marctensia Michael Chan berkata bagi penonton yang berminat menggunakan perkhidmatan bas itu, mereka boleh meletakkan kenderaan mereka di Plaza Damas (berhadapan Istana Negara yang baru), Plaza Damansara dan Stesen LRT Bangsar.

Beliau berkata setiap bas yang digunakan sebagai perantara itu akan ditampal dengan pelekat khas konsert di setiap bas berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Penyediaan perkhidmatan pengangkutan percuma ini merupakan inisiatif bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas. Perkhidmatan bas ini akan beroperasi setiap 15 minit, bermula seawal pukul 5 petang dan berakhir 3 pagi," katanya.

Konsert itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Genting Highlands Resort. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan