Jangan Lupa Sejarah 13 Mei - Tun Dr Mahathir

Diterbitkan: Jumaat, 14 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sesiapa yang melupakan sejarah mungkin kembali mengulangi sejarah itu dan bakal berhadapan hukuman akibat kesilapan itu.

Sehubungan itu, mantan perdana menteri itu meminta rakyat supaya tidak melupakan tragedi 13 Mei 1969 kerana jika itu berlaku, sejarah itu boleh berulang.

"Saya fikir kalau kita lupa sejarah kita, kita akan ulangi sejarah itu. Ada pepatah terkenal menyebut mereka yang lupa pengajaran daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan mereka berulang kali.

"Itu keyakinan saya," katanya pada sidang media penghantaran bantuan kemanusiaan oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA Loh Seng Kok yang mendakwa persetujuan Dr Mahathir untuk menyertai Program Melayu Bangkit anjuran Institut Integriti Negeri Terengganu (IINT) bersama Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, yang dibatalkan semalam, seolah-olah merestui kempen perkauman.

Program itu ditangguhkan ke satu tarikh lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan termasuk aspek keselamatan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak memandangnya dari sudut itu tetapi kesudiannya menyertai acara itu adalah untuk mengingatkan rakyat bahawa sekiranya isu itu tidak dikendalikan dengan cermat, tidak mustahil sejarah berdarah itu akan berulang.

"Itu saya tak taulah (dakwaan). Saya pergi ke sana bukan untuk mengadu domba antara pelbagai bangsa tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa jika kita tidak mempedulikan masalah bangsa ini, kita akan mengulangi kesilapan kita. Jika (tidak dibatalkan), sudah tentu, saya pergi, tapi lepas itu saya akan digelar rasis," katanya.

Dr Mahathir berkata sebagai orang yang melalui sendiri pengalaman tragedi 13 Mei itu, beliau hanya ingin berkongsi maklumat supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada orang lain.

"Saya lalui 13 Mei ini jadi saya tahu benar. Saya fikir saya dapat membantu menyesuaikan diri agar mereka tidak bertindak terburu-buru yang boleh menyebabkan berulangnya satu lagi 13 Mei," katanya.

Justeru itu, Dr Mahathir berharap mana-mana pihak yang mencadangkan supaya tragedi itu dilupakan, supaya kembali memperbetulkan tanggapan mereka mengenai tarikh bersejarah itu.

"Idea agar kita patut melupakan 13 Mei bukan satu idea yang baik," katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucap tama pada Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di sini, Dr Mahathir berkata beliau menerima jemputan sebagai tetamu pada perhimpunan anjuran GERTAK kerana mahu memberikan penjelasan mengenai peristiwa hitam yang pernah melanda negara.

"Saya datang sebab nak jelaskan mengenai peristiwa 13 Mei tapi dah tak jadi saya nak jelas dekat siapa," katanya.

Beliau berkata penjelasan itu juga adalah untuk menyedarkan rakyat supaya kejadian rusuhan antara kaum yang terjadi pada 13 Mei tidak berulang.

"Saya melalui sejarah, saya berada di situ. Sebab itu saya tahu sentimen yang mencetuskan peristiwa 13 Mei," katanya.

Beliau berkata kerajaan harus memastikan pertumbuhan yang seimbang di antara semua kaum di negara ini bagi mengelakkan sentimen itu timbul kembali.

"Pertumbuhan yang tidak seimbang akan mendatangkan rusuhan, ketegangan hubungan antara kaum. Kalau tak tahu apa yang berlaku dulu, kita akan buat benda yang sama, kita jangan biarkan apa yang berlaku dulu berlaku sekarang," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata rakyat perlu berani menegur tentang corak kepimpinan dan dasar yang dibuat oleh seseorang pemimpin bagi mengelakkan rakyat sendiri yang menjadi mangsa kepada sesuatu dasar dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin yang dianggap tidak betul.

"Bak kata pepatah Melayu, sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang pemimpin tegur-tegurkan. Bukan kita tidak sayang pemimpin tapi bila lihat pemimpin buat yang tidak baik, maka kita perlu tegur.

"Pemimpin diberi kuasa untuk jayakan kepentingan pengikut (rakyat), kita nak dia pimpin kita supaya hasrat dan kehendak kita dapat dilaksanakan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan