Sime Darby Arah Presiden/GCE Bercuti

Diterbitkan: Khamis, 13 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mengambil tindakan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengan membuat perubahan pengurusan, termasuk mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCE), Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid bercuti sebelum kontraknya tamat pada 26 November 2010.

Konglomerat itu juga akan mengalami impak negatif sebanyak RM964 juta ke atas keputusan separuh kedua tahun kewangan 2010 berikutan kelewatan dan kos berlebihan beberapa projek di Qatar dan projek empangan hidro elektrik Bakun.

Datuk Azhar Abdul Hamid, yang kini memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perladangan, dilantik memangku GCE, kata Sime Darby dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata kumpulan itu mengambil langkah segera dan tepat untuk membetulkan kekurangan yang dikenal pasti oleh Kumpulan Lembaga Kerja yang ditubuhkan pada Oktober tahun lepas.

Kumpulan itu ditubuhkan bagi mengkaji semula operasi bahagian tenaga dan utiliti dan menilai tadbir urus korporat dan prestasi susulan keputusan kewangan 2009.

Kumpulan Kerja dianggotai Datuk Seri Panglima Andrew Sheng sebagai Pengerusi, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Datin Paduka Zaitoon Datuk Othman, mengkaji semua projek yang terjejas dan mengumumkan penemuan itu hari ini.

Projek terbabit Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (Projek QP); projek Maersk Oil Qatar (Projek MOQ); sebuah projek yang membabitkan pembinaan kapal untuk kegunaan dalam projek MOQ (Projek Marin) dan projek empangan hidro elektrik Bakun.

Projek QP, yang diperoleh pada April 2006 dan dijadual siap pada Ogos 2008, mengalami kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian melebihi RM500 juta yang sudahpun diambil kira.

Bahagian itu sedang berunding dengan pelanggan mengenai Projek QP atas tuntutan bagi kos yang berlebihan, kata kenyataan itu.

Walaupun rundingan sedang berjalan, berikutan kelewatan memuktamadkan perkara itu, lembaga memutuskan untuk menukar semua perolehan sebanyak RM200 juta yang diperakui sebelum ini dalam akaun kumpulan bagi tahun kewangan 2010.

Bagi projek MOQ, yang diperoleh pada Januari 2007, dan dijadual siap pada Oktober 2009, kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian RM526 juta bagi tahun kewangan 2010.

Daripada jumlah itu, RM367 juta diperakui dalam keputusan separuh pertama 2010 kumpulan dan lembaga itu memutuskan untuk memperakui baki RM159 juta.

Rundingan sedang dijalankan dengan pelanggan bagi Projek MOQ, kata kenyataan itu. Sementara itu, projek marin terbabit meliputi pembinaan dua bot tunda dan baj Derrick Lay untuk kegunaan dalam projek MOQ.

Bagaimanapun baj belum diserahkan dan lembaga itu menganggarkan projek mungkin mencatatkan kerugian kira-kira RM155 juta dengan pengurusan masih mengkaji semula semua opsyen yang ada.

Projek empangan hidro elektrik Bakun, dengan Sime Engineering Sdn Bhd menguasai 35.7 peratus kepentingan, diluluskan pada September 2002 dan dijadual siap pada September 2007.

Berikutan pelbagai faktor, penyiapan tertangguh dan kos meningkat.

Pengurusan menganggarkan potensi kos tambahan sebanyak RM450 juta ditanggung oleh kumpulan dalam keputusan tahun kewangan semasa,

Rundingan juga sedang dilakukan dengan pelanggan dan subkontraktor mengenai projek itu dan kumpulan melantik penasihat teknikal bebas untuk projek berkenaan.

Sime Darby berkata pengumuman lanjut akan dibuat selepas rundingan dengan pelanggan bagi setiap projek, dimuktamadkan.

Sementara itu, Sime Darby mengumumkan keuntungan RM1.113 bilion bagi separuh pertama 2010 manakala keputusan suku ketiga dijangka dimumumkan pada 27 Mei, 2010. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan