PDRM, JKDM Tubuh Jawatankuasa Kerja

Diterbitkan: Rabu, 12 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Kerja bagi memantapkan operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras aktiviti jenayah penyeludupan dadah dan barang-barang larangan di kawasan sempadan negara ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dalam menjaga keselamatan negara semua agensi penguatkuasa perlu bersama-sama memantau keadaan agar aktiviti jenayah dapat dibanteras secara menyeluruh.

"Kita perlu bersama-sama bertindak memberi sokongan kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam menjalankan tugas mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ke-2 peringkat tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Ibrahim Jaapar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Mengulas lanjut, Musa berkata kerjasama yang dijalin dalam usaha membanteras jenayah tidak terhad kepada JKDM sahaja malah ia melibatkan semua agensi penguatkuasa di negara ini.

"Kita akan adakan mesyuarat bersama-sama dengan Jabatan Imigresen dan mana-mana pihak yang kita rasakan perlu untuk menentukan bahawa tahap keselamatan di sempadan dan pintu masuk negara ini dapat di pertingkatkan,” katanya.

Bagi memastikan usaha memantau sempadan negara berjalan lancar Musa menegaskan bahawa setiap pegawai yang bertugas di sempadan akan ditukar setiap dua tahun mengikut keperluan setiap jabatan dan agensi penguatkuasa yang terlibat.

"Kita akan buat pertukaran dari semasa ke semasa mengikut keperluan jabatan. Kita ada unit khas yang akan memantau prestasi pegawai bukan sahaja di sempadan malah di semua cawangan kita di seluruh negara.

"Ada pegawai yang sangat bagus, buat kerja dengan betul kita akan kekalkan kerana kalau kita tukarkan pegawai ini kita rugi la…tetapi yang lain tu kita akan tukar dari semasa ke semasa,” katanya.

Jelas beliau lagi, jika semua pegawai yang bertugas di sempadan mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan ia tidak akan menimbulkan masalah.

"Kalau setiap pegawai kita mengikut peraturan yang disediakan tiada masalah…tetapi kalau terlalu lama bertugas di sana mereka tutup mata sebelah…

"Ini menjadi masalah..Kita perlu tentukan bahawa prosedur yang ditetapkan itu perlu dipatuhi. Ini termasuk semua agensi, bukan sahaja pihak polis,” katanya. Oleh yang demikian, Musa berkata pihak polis akan bekerjsama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras rasuah dikalangan anggota dalam agensi penguatkuasa di negaara ini.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) bagi menyambut peristiwa berdarah 13 Mei esok, Musa berkata beliau tidak mengetahui mengenainya.

“Saya tidak tahu mengenainya, anda perlu tanya pada (polis) Terengganu,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan kira-kira 10,000 orang termasuk ahli-ahli 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka menyertai program itu untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perbincangan bagi penyatuan orang Melayu secara khususnya.

Pengerusi Gertak, Razali Idris, berkata pemilihan tarikh 13 Mei bertujuan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh terbabit.

Beliau mendakwa, tarikh itu dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh tersebut.

Bagaimanapun, perhimpunan itu dibidas oleh kedua-dua pihak pembangkang termasuk dari parti-parti komponen Barisan Nasional.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan