David Cameron PM Baru Britain dan Yang Termuda Dalam Tempoh 200 Tahun

Diterbitkan: Rabu, 12 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Britain, David Cameron ketika bertemu dengan Ratu Elizabeth di Istana Buckingham di London semalam. Foto REUTERS oleh John tillwell.
Perdana Menteri Britain, David Cameron ketika bertemu dengan Ratu Elizabeth di Istana Buckingham di London semalam. Foto REUTERS oleh John tillwell.

LONDON (Reuters): Pemimpin Parti Konservatif David Cameron hari ini berjaya mencapai kata sepakat dengan Parti Liberal Demokrat untuk membentuk kerajaan campuran pertama Britain sejak tahun 1945.

Persetujuan untuk kedua-dua parti itu bergabung bagi membentuk kerajaan telah membolehkan Cameron mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Britain konservatif yang pertama selepas John Major.

Cameron, 43, juga mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling muda Britain dalam tempoh 200 tahun.

Di bawah perjanjian itu juga, Pemimpin Liberal Demokrat, Nick Clegg akan menjadi timbalan perdana menteri.

Persetujuan itu dicapai lima hari selepas Britain berada dalam keadaan terumbang ambing selepas tidak ada mana-mana parti pun berjaya mencapai majoriti yang jelas dalam pilihan raya umum minggu lalu.

Persetujuan Konservatif untuk bergabung dengan Liberal Demokrat juga menyaksikan berakhirnya kuasa Parti Buruh yang memerintah Britain selama 13 tahun di bawah dua orang perdana menteri iaitu Tony Blair dan Gordon Brown.

Cameron dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri mengakui sebuah kerajaan campuran akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan tetapi yakin, jika mereka mampu bekerjasama mereka akan memimpin sebuah kerajaan yang stabil yang diperlukan oleh Britain.

Liberal Demokrat juga meraikan kejayaan ini sebagai satu pencapaian penting selepas beberapa dekad sentiasa menjadi parti yang berada di belakang Buruh dan Konservatif.

"Ya memang akan ada masalah di sana sini tetapi saya berjanji akan membuat yang terbaik untuk membuktikan bahawa politik baru sahaja boleh dicapai tetapi juga lebih baik daripada politik lama," ujar pemimpin Liberal Demokrat Nick Clegg.

Dari sudut keserasian, dasar Liberal Demokrat lebih mirip dengan dasar Parti Buruh tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat dalam pembentukan kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Parti Konservatif kini merupakan parti terbesar di Parlimen dan hanya kekurangan 20 kerusi untuk memperolehi majoriti jelas tetapi dengan membentuk kerajaan campuran bersama Liberal Demokrat, mereka akan memperolehi sokongan tambahan 76 kerusi lagi.

Sebaik sahaja dinamakan sebagai perdana menteri, pejabat Cameron turut mengumumkan kabinet baru yang akan dibentuk tidak lama lagi akan turut mempunyai lima menteri dari Parti Liberal Demokrat termasuk Clegg sebagai timbalan perdana menteri.

Walaupun pejabat perdana menteri belum mengeluarkan senarai nama anggota kabinet tetapi spekulasi di kalangan media Britain menyebut jurucakap perbendaharaan Liberal Demokrat, Vince Cable, ada kemungkinan akan mengetuai potfolio perbankan dan bisnes.

George Osborne, seorang penasihat kewangan yang rapat dengan Cameron, pula disebut-sebut bakal dijadikan Chancellor of the Exchequer (menteri kewangan) yang baru.

William Hague, seorang pemimpin kanan Konservatif dan merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam rundingan pembentukan kerajaan campuran ini kini disebut-sebut bakal mengetuai Kementerian Luar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan