Seorang Disah Hakim Mahkamah Tinggi, Tiga Dilantik Pesuruhjaya Kehakiman

Diterbitkan: Selasa, 11 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang Pesuruhajaya Kehakiman hari ini disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi manakala tiga orang dilantik Pesuruhjaya Kehakiman.

Datuk Hinshawati Shariff, 55, yang dilantik Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Kehakiman sejak 2007.

Tiga yang dilantik Pesuruhjaya Kehakiman ialah Ketua Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara See Mee Chun; hakim kanan Mahkamah Sesyen Shah Alam M. Gunalan dan Pengarah Mahkamah-mahkamah Negeri, di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang Rosilah Yop.

Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan dan taat setia hakim di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi di Istana Kehakiman di sini.

Pelantikan kesemua mereka berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan mereka adalah dengan perkenan Yang di Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara mengikut Perkara 122AB (1) Perlembagaan Persekutuan.

See, 51, yang berasal dari Kuantan, Pahang, memperoleh Sarjana Undang-Undang dari Universiti of London, United Kingdom dan mula berkhidmat dengan kerajaan pada 1983.

See, sebelum ini, pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-Undang di beberapa kementerian, hakim Mahkamah Sesyen, Ketua Unit Timbangtara dan Timbalan Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara.

Gunalan, 52, sebelum ini pernah memegang jawatan Majistret, hakim Mahkamah Sesyen dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Agung.

Sementara itu, Rosilah, 52, pernah menyandang jawatan antaranya sebagai Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan