Mampukah Satu Lagi Yayasan Bantu Bumiputera Pulau Pinang?

Diterbitkan: Selasa, 11 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ANTARA hasil menarik Konvensyen Ekonomi UMNO Pulau Pinang pada Ahad lepas ialah pengumuman bahawa kerajaan pusat bersetuju menyalurkan peruntukan untuk Yayasan Aset Bumiputera Pulau Pinang.

Yayasan berkenaan akan berfungsi meningkatkan penguasaan ekonomi khususnya dalam pemilikan hartanah oleh bumiputera di negeri itu di samping berperanan meningkatkan penglibatan golongan itu dalam pelbagai bidang seperti teknologi komunikasi maklumat (ICT), pelancongan dan industri kecil dan sederhana.

Ia adalah yayasan yang kedua ditubuhkan untuk membela dan merancang masa depan kaum Bumiputera di Pulau Pinang selepas penubuhan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang pada tahun 1981.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi yayasan baru itu, empat organisasi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan Bumiputera di Pulau Pinang juga akan diletakkan di bawah pemantauan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang untuk tujuan koordinasi.

Empat organisasi itu ialah Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Jawatankuasa Pemandu Bumiputera Sdn Bhd dan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang.

Persoalan yang timbul ialah mampukah penubuhan sebuah lagi yayasan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bumiputera di Pulau Pinang?

Bekas Pengerusi Yayasan Bumiputera Pulau Pinang Bhd Datuk Seri Dr Ibrahim Saad berkata, penubuhan sebuah lagi yayasan tidak akan memberi sebarang makna jika bantuan tidak sampai ke peringkat akar umbi.

Yayasan itu kini diterajui oleh tokoh korporat Datuk Seri Syed Mohamad Aidid selepas Ibrahim melepaskan jawatannya pada tahun 1998.

Ibrahim berkata adalah lebih baik kerajaan mengkaji semula kedudukan Yayasan Bumiputera yang sedia ada dan menyelesaikan masalah yang timbul kerana yayasan itu mempunyai tujuan, fungsi dan objektif yang sama malah penubuhannya juga adalah hasil Konvensyen UMNO Pulau Pinang pada tahun 1981.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Datuk Seri Mohd Yusof Latiff berkata, Yayasan Bumiputera Pulau Pinang telah hilang arah tuju dan menceburi pelbagai perniagaan yang tidak memberi manfaat kepada orang Melayu secara keseluruhannya.

Katanya masalah orang Melayu di Pulau Pinang tidak pernah selesai walaupun Yayasan Bumiputera yang ditubuhkan itu telah diberikan pelbagai peruntukan saham, bantuan kewangan dan hartanah yang berjumlah ratusan juta ringgit.

Beliau berkata pemimpin UMNO sekarang tidak harus berdiam diri dan perlu bertanya ke manakah arah yang dituju Yayasan Bumiputera itu.

Yusof berkata walaupun PEMENANG menyambut baik cadangan penubuhan yayasan yang baru itu, namun pengendalinya haruslah terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai kepentingan diri.

"Apa yang penting ialah pelaksanaan dan perjalanan yayasan itu hendaklah benar-benar bertujuan menolong orang Melayu dan bukannya untuk dijadikan alat berpolitik atau kepentingan diri orang tertentu," katanya.

Seorang veteran UMNO yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid pula berkata terdapat sebuah agensi dikenali Unit Penyelarasan Bumiputera di negeri itu yang mengenakan syarat kepada syarikat pemaju perumahan mewah supaya membina rumah kos rendah atau kos sederhana rendah bagi setiap projek perumahan mewah.

"Tetapi sekarang apa dah jadi? Kondominium tumbuh bagai cendawan di Pulau Pinang dan di manakah pembinaan rumah kos rendah atau kos sederhana rendah yang diwajibkan itu," katanya.

Beliau berkata Unit Penyelerasan Bumiputera juga akan mengutip bayaran harga diskaun sebanyak 5 peratus jika kuota Bumiputera untuk projek itu tidak terjual namun begitu tiada siapa yang tahu di manakah wang yang dikutip itu dibelanjakan.

Rashid berpendapat penubuhan sebuah lagi yayasan untuk memainkan peranan yang sama tidak akan memberi sebarang makna jika kaum Bumiputera di Pulau Pinang sekadar hanya mampu mendiami rumah pangsa kos rendah, menjadi penjaja di hadapan kawasan rumah atau bekerja sebagai pengawal keselamatan di rumah-rumah mewah yang dahulunya adalah tapak rumah mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan