Lagi Pemimpin PKR Keluar Parti

Diterbitkan: Selasa, 11 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat Fauzi Muda, 51, hari ini mengumumkan keluar parti dan mendakwa cabang berkenaan juga bakal dibubarkan apabila lebih dua pertiga ahli jawatankuasa (AJK) akan turut mengikut jejaknya.

"Hanya akan tinggal kira-kira 10 orang AJK daripada 28 yang ada sekarang kerana mereka juga akan turut mengumumkan keputusan serupa dalam masa terdekat bersama pimpinan Wanita dan kira-kira 500 ahli," katanya pada sidang akhbar di pejabat PKR Ipoh Barat di Bercham di sini Selasa.

Fauzi berkata antara sebab beliau membuat keputusan berkenaan adalah kerana kepimpinan PKR Perak mengamalkan sikap berpuak-puak, berkomplot, tidak menerima kritikan serta membawa budaya perpecahan.

Beliau yang mendakwa masih menghormati kepimpinan kebangsaan PKR berkata punca utama yang menyebabkan beliau membuat keputusan meninggalkan parti ialah apabila menerima surat pada 4 Mei yang menggantung statusnya sebagai perwakilan pada kongres parti akhir bulan ini.

Ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti politik lain, Fauzi berkata beliau tidak bercadang menyertai parti lain tetapi akan bergerak cergas dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedang dalam proses penubuhan.

"Saya akan bergerak dalam Pertubuhan Kebajikan Tindakan Suara Rakyat Perak... saya akan jumpa masyarakat jelaskan mengenai PKR sebenarnya," katanya.

Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri, yang mengisytihar keluar PKR dan menjadi wakil bebas pada Mac lepas.

Fauzi berkata kehadiran Mohsin adalah sebagai rakan yang turut mengalami nasib yang sama dengannya iaitu menjadi mangsa kepada komplot pemimpin PKR Perak. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan