Pemangku Raja Kelantan Perkenan Sultan Dibawa Pulang Ke Istana Mahkota

Diterbitkan: Isnin, 10 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Pemindahan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sebelum ini dimasukkan ke Wad Diraja Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kembali ke Istana Mahkota, Kubang Kerian mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, pihaknya menerima titah bagi mengaturkan pergerakan Sultan Kelantan dari HUSM kembali ke Istana Mahkota daripada Pejabat Istana Kelantan kira-kira pukul 4 petang.

"Pihak polis mendapat titah daripada Pemangku Raja supaya aturkan agar Sultan Kelantan dibawa pulang ke Istana Mahkota.

"Kita hanya melaksanakan titah Ke Bawah Duli Tuanku Pemangku Raja... sekarang ini Tuanku Sultan sudah selamat sampai ke Istana Mahkota," katanya ketika ditemui di perkarangan HUSM di sini semalam.

Sultan Kelantan yang dimasukkan ke HUSM pada Selasa lalu telah mencetuskan pelbagai persoalan terutama berhubung status kesihatan baginda.

Pada hari berkenaan, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid danTengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry serta dua doktor cuba membawa Sultan Kelantan ke Singapura menaiki pesawat dihalang polis sebelum baginda dimasukkan ke HUSM.

Sejurus tiba di HUSM, Tuanku Ismail Petra ditrmpstksn di Wad Diraja untuk pengawasan perubatan, manakala Tengku Muhammad Fahkry bersama dua doktor itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sebelum dibenarkan pulang, manakala Tengku Anis kembali ke Istana Mahkota.

Ditanya mengenai kawalan keselamatan di Istana Mahkota, Amir berkata, prosesnya akan kembali seperti biasa tanpa kawalan ketat seperti di HUSM.

"Ia akan kembali seperti biasa, tidak seperti di sini. Sebelum ini, kawalan yang ketat itu adalah atas titah Pemangku Raja... kita hanya melaksanakannya," katanya.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa Pemangku Raja telah memberi perkenan supaya Sultan Kelantan dipindahkan kembali ke Istana Mahkota.

"Pemangku Raja telah mengeluarkan titah pada pukul 4 petang tadi," katanya.

Selain itu beliau turut menyeru kepada orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin atau membaca perkembangan mengenai Istana Kelantan melalui blog.

"Orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan spekulasi berkaitan isu ini, saya harap mereka ikuti kenyataan rasmi Istana Kelantan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan