Jangan Tamak Kuasa Dan Berpuak Dalam Parti : Veteran UMNO

Diterbitkan: Isnin, 10 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun Umno esok, anggota parti itu sekali diingat supaya mengikis sifat negatif termasuk berpuak-puak, tamak kuasa serta menjadikan parti sebagai tempat mencari makan.

Veteran Umno Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata jika Umno mahu terus relevan di masa akan datang, anggotanya perlu mengkikis sikap negatif itu.

"Umno sebagai parti keramat orang Melayu harus terus menggerakkan usaha menyatupadukan orang Melayu serta semua kaum di negara ini," katanya apabila diminta mengulas mengenai harapan beliau menjelang ulang tahun ke-64 Umno.

Abu Zahar, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata rakyat kini mulai merasai perubahan yang dilakukan oleh Umno.

Selain daripada perubahan dalaman parti, beliau berkata Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga berjaya melakukan perubahan terhadap dasar pentadbiran kerajaan dengan memperkenalkan gagasan 1Malaysia.

"Presiden telah membuat satu pendekatan dalam pentadbirannya iaitu memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan dan kini ia telah menampakkan perubahan terhadap penerimaan rakyat kepada kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional.

"Presiden kita, saya lihat amat prihatin dengan masalah rakyat, bekerja kuat, mesra rakyat dan bersungguh-sungguh. Jadi inilah yang pemimpin Umno perlu ikuti dan contohi," kata Abu Zahar yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah.

Beliau juga berharap Umno akan terus mengikuti perkembangan semasa bagi memenangi hati pengundi khususnya golongan belia.

"Sekarang ini masa dah berubah dan untuk mendapatkan maklumat juga mudah. Media cetak kini tidak lagi dijadikan bahan untuk mendapatkan maklumat kerana dalam dunia tanpa sempadan ini seperti blog, mereka mudah mendapatkan akses. Sebagai orang lama, kita pun perlu mengikuti perkembangan semasa. Ini yang perlu Umno ikuti," kata Abu Zahar.

Seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, berkata terdapat dua sebab mengapa Umno masih mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Pertama, Umno adalah sebuah parti yang kuat dan berkuasa dan keduanya ialah pemimpin-pemimpinnya benar-benar memperjuangkan agenda Melayu tanpa menafikan hak kaum-kaum lain.

"Sepanjang 64 tahun Umno menunjangi kerajaan, sudah begitu banyak pemimpin yang berjasa, gigih dan bersungguh-sungguh memperkembangkan ilmu," katanya.

Beliau juga meminta Umno supaya berterusan membendung gejala politik wang khususnya ketika pemilihan parti.

"Semangat taat setia kepada individu selalunya dikaitkan kerana politik wang. Mereka yang ada duit sahaja boleh menjadi pemimpin. Ini bahaya dan merosakkan kredibiliti.

"Kalau sudah boleh beli undi, akan tiba satu ketika nanti orang banyak duit tapi bodoh, tidak boleh memimpin dan tidak tahu perjuangan (akan jadi pemimpin)," kata Abdul Aziz.

Beliau juga mengingatkan Umno supaya terus mempertahankan kontrak sosial.

"Orang Melayu yang ada rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan negaranya, mesti mempertahankannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan