Jumlah Doktor Di Sarawak Akan Ditambah

Diterbitkan: Ahad, 9 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Keutamaan akan diberi kepada Sarawak untuk mendapat lebih banyak doktor kerana jumlah doktor yang sedia ada di negeri ini masih berkurangan sebanyak 50 peratus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak ketika ini hanya mempunyai 600 doktor tidak termasuk doktor swasta dan memerlukan sekurang-kurangnya 1,200 doktor.

"Keutamaan akan kita berikan kepada Sarawak sekarang kerana kita kurang doktor sebanyak 50 peratus daripada jumlah yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen kesihatan dan penjagaan mulut di sini hari ini.

Katanya ketika ini kementeriannya mampu untuk mendapatkan kira-kira 3,300 doktor terlatih dalam setahun dan daripada jumlah tersebut kira-kira 3,000 akan berkhidmat di hospital kerajaan setelah mereka menamatkan latihan dan pengajian masing-masing.

Menurutnya doktor-doktor yang telah tamat pengajian dan latihan tidak menghadapi banyak masalah untuk berkhidmat di Sarawak termasuk kawasan luar bandar kerana mereka berpeluang untuk menerima pelbagai insentif daripada kerajaan.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 25,000 doktor yang berkhidmat di negara ini dan ia termasuk doktor-doktor yang berkhidmat di hospital swasta.

Dalam pada itu bercakap tentang tahap kesihatan mulut dan gigi beliau berkata tahun lalu 252,558 pelajar dari 1,202 sekolah rendah di Sarawak telahpun menerima rawatan kesihatan mulut dan gigi sepanjang tahun lalu.

Menurutnya hampir 95 peratus pelajar sekolah rendah di negeri ini termasuk yang berada di kawasan luar bandar berpeluang menerima khidmat rawatan gigi daripada doktor gigi selain 46,410 kanak-kanak dari 1,456 tadika yang turut menerima rawatan yang sama.

"Hanya lima peratus pelajar sekolah rendah yang masih tidak menerima rawatan kesihatan mulut dan gigi kerana sekolah mereka ini memang jauh di pedalaman dan sukar untuk dihubungi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan