Polis Nafi Bertindak Kasar Terhadap Kerabat Diraja Kelantan

Diterbitkan: Sabtu, 8 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Polis Kelantan hari ini menafikan berlakunya tindakan mengasari anggota kerabat diraja Kelantan yang ingin menziarahi Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata tidak ada kekasaran yang berlaku seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai kekesalan anggota keluarga diraja kerana pihak polis bersikap kasar dan enggan membenarkan mereka masuk melawat Sultan Kelantan yang menjalani rawatan jantung di HUSM sejak Selasa.

Ayahanda saudara kepada Tuanku Ismail, Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dilaporkan berasa dukacita apabila pegawai polis hanya membenarkan individu tertentu untuk melawat baginda.

Amir berkata sejak Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan agar kawalan keselamatan dipertingkatkan dan sesiapa yang ingin menziarahi Sultan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja.

Sehubungan itu beliau berkata hanya lima pelawat sahaja yang dibenarkan melawat tanpa kelulusan daripada Pemangku Raja.

"Dalam senarai kami hanya lima sahaja yang dibenarkan melawat iaitu Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Puteri serta dua kerabat terdekat.

"Bagaimanapun itu tidak bermakna ahli keluarga diraja yang lain tidak dibenarkan melawat cuma mereka perlu mendapatkan kebenaran dan titah daripada Pemangku Raja terlebih dahulu sebelum dibenarkan melawat. Kalau sudah ada kebenaran pihak polis tidak akan menghalang," katanya.

Mengenai identiti lelaki yang telah menembak pengawal istana Kelantan pada 1 Mei lalu di Tumpat, Amir berkata lelaki itu adalah seorang warga tempatan dan berusia 40-an.

Polis masih menyoal siasat lelaki berkenaan setelah lelaki itu ditahan polis seminggu yang lalu, katanya.

Pada 1 Mei lepas, Ramli Mohamad, 50, cedera parah ditembak empat das tembakan oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli kira-kira 3 kilometer daripada rumah mangsa ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan