Peguam Negara Akan Jawab Afidavit Tengku Temenggong Kelantan

Diterbitkan: Sabtu, 8 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan menjawab kandungan afidavit difailkan oleh sekumpulan peguam dalam permohonan habeas corpus untuk membawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya akan menjawab afidavit berkenaan di mahkamah nanti.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut.

“Tetapi saya akan jawab permohonan habeas corpus itu di mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan turut enggan mengulas mengenai afidavit berkenaan.

“Saya serahkan perkara ini kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya,” jelas beliau.

Hari ini peguam yang mewakili Sultan Kelantan telah memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian.

Sultan Kelantan telah menerima rawatan di Wad Diraja HUSM sejak Selasa lepas dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh polis dengan hanya ahli keluarga diraja tertentu dibenarkan bertemu baginda.

Putera ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra mendakwa dalam afidavit berkenaan bahawa kereta baginda telah dikepung oleh 30 lelaki bertopeng yang bersenjatakan mesingan ketika mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Beliau mendakwa lelaki berkenaan mengacukan senjata ke kepala pemandu Sultan, yang kemudiannya diseret keluar daripada kenderaan tersebut.

Sultan Kelantan dijadualkan berlepas ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan