Orang Melayu Perlu Sedar Asal Usul, Elak Pertikai Institusi Raja

Diterbitkan: Sabtu, 8 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang Melayu perlu sedar mengenai asal-usul mereka dan sentiasa merujuk kepada Perlembagaan negara bagi mengelakkan berlakunya pertikaian terhadap institusi Diraja dan istana, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Pokoknya orang Melayu sudah lupa asal-usul dan dahan bergantungnya. Orang Melayu sendiri harus sedar, penjelmaan sejarah harus kita pegang dengan kukuh," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi dan jabatan yang menyumbang kepada Pameran Keranda di Muzium Negara di sini hari ini.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan semasa di mana rakyat kini semakin berani mempertikaikan titah Sultan dan Raja serta konflik dalam sistem beraja itu sendiri.

Beliau berkata, penguatkuasa undang-undang juga perlu mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang cuba mencabul dan mencaci institusi Raja-Raja.

"Yang timbul sekarang adalah bagaimana kita dapat menjamin supaya Perkara 181, 153, 152 dan lain-lain (dalam Perlembagaan) yang berkaitan dengan kuasa Diraja termasuk Perkara 38 dan 43 di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan tertinggi dalam sistem beraja di negara ini.

"Harus ditetapkan penguatkuasaan undang-undang itu kalau dicabul sahaja institusi itu menerusi hasutan maka tindakan harus lekas diambil, ini pun satu hal yang seharusnya ditegur dan dijalankan tindakannya," katanya.

Rais berkata, imej dari istana juga mesti kental dan boleh dicontohi bagi mengelakkan rakyat jelata kecewa dengan cara pentadbiran dalam institusi tersebut.

"Kalau dalam institusi itu sendiri berkecamuk, rakyat di negara itu akan kehilangan keteguhan atau pegangan tradisi mereka, ini harus kita jaga betul-betul," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan