Najib Akan Saksikan Urus Niaga AS$ Billion

Diterbitkan: Sabtu, 8 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PHNOM PENH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyaksikan majlis pemeteraian enam perjanjian perniagaan bernilai AS$1 bilion sempena lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja, mulai esok.

Lima daripada perjanjian itu membabitkan sektor swasta kedua-dua negara manakala satu lagi antara syarikat Malaysia dan Kerajaan Kemboja.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen akan bersama-sama menyaksikan pemeteraian kesemua pejanjian yang meliputi pendidikan, keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi, industri halal, pertanian, latihan dan peruncitan, di sini pada Isnin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini berkata lawatan rasmi pertama Najib ke negara ini selepas mengetuai kerajaan April tahun lepas, sangat penting dalam meningkatkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Pengiran Mohd Hussein Pengiran Mohd Tahir Nasruddin berkata jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai AS$150 juta tahun lepas.

Sembilan puluh peratus daripada jumlah perdagangan itu membabitkan eksport tekstil, minyak sawit dan makanan dan minuman manakala 10 peratus lagi merupakan Impot getah. tekstil dan beras, katanya.

Mohd Hussein berkata terdapat peluang besar untuk Malaysia meneroka sektor perkhidmatan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pembinaan. industri halal, pelancongan serta minyak dan gas, di sini.

Malaysia kini merupakan pelabur keempat terbesar, dengan pelaburan bernilai AS$1.8 bilion di negara ini, selepas China, Korea dan Vietnam.

Beliau berkata pelaburan Malaysia di Kemboja meliputi industri pakaian sukan, hotel, pendidikan, perbankan dan industri rangkaian makanan segera.

"Perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dijangka dipertingkat menjelang pewujudkan Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015 yang membolehkan pergerakan bebas barangan, modal dan penduduk," katanya.

Beliau berkata ahli perniagaan Malaysia perlu memberi tumpuan serius terhadap Kemboja memandangkan ia terletak dalam lembangan Mekong yang meliputi Myanmar, Laos dan Vietnam, yang didiami 100 juta penduduk.

Najib bersama Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh di sini pada 7.05 malam (waktu Malaysia: 8.05 malam) esok.

Sejumlah 117 ahli perniagaan Malaysia menyertai delegasi itu. Pada Isnin, Perdana Menteri dijadual menghadiri istiadat mengalung bunga di Tugu Kemerdekaan di sini, sebelum menemui Hun Sen dan mengadakan perbincangan dua hala di Council of Ministers, di sini.

Najib kemudiannya akan berdialog dengan para pelabur dan ahli perniagaan di Kemboja di sebuah hotel di sini sebelum menyertai Hun Sen pada Forum Perniagaan Malaysia-Kemboja dan jamuan tengah hari di tempat yang sama.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan mejlis pemeteraian enam perjanjian terbabit.

Najib juga dijadual melawat Pusat Operasi Hello Axiata, syarikat usaha sama Malaysia-Kemboja dalam industri telekomunikasi di sini dan melawat tapak pembinaan kompleks baharu Kedutaan Malaysia.

Sementara itu, Rosmah akan menghadiri majlis berasingan pada Isnin dengan melawat Hospital Kantha Bopha IV dan Sekolah Tinggi Bun Rany Hun Sen, juga di sini.

Perdana Menteri dan isteri juga akan menghadiri jamuan rasmi anjuran Hun Sen dan isteri, Bun Rany, di sebuah hotel di sini.

Pada hari terakhir, Najib akan menghadap Raja Norodom Sihamoni di Royal Palace, di sini.

Najib juga akan bertemu Presiden Perhimpunan Kebangsaan Heng Samrin dan Presiden Senat, Chea Sim, masing-masing di Dewan Perhimpunan Kebangsaan dan Dewan Senat.

Najib dan Rosmah dijadual berlepas pulang pada 11.30 pagi (waktu Malaysia :12.30 tengah hari). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan