Kepimpinan PAS Diingatkan Tentang Musang Berbulu Ayam Dalam Parti

Diterbitkan: Sabtu, 8 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini meminta kepimpinan parti lebih berhati-hati dalam menerima penjawat awam dalam kerajaan dan parti supaya tidak berlaku apa yang dikatakan "infiltration" (penyusupan) atau wujud musang berbulu ayam dalam parti.

"Dalam pengalaman kita, perkara ini pernah berlaku. Bila dekat pilihan raya bila PAS mendapat sambutan, senario ini tidak mustahil berlaku.

"Sebab itu, kita perlu berhati-hati dan menapis setiap permohonan sebelum diambil bekerja dalam parti dan kerajaan...kita boleh menggunakan kaedah yang sama (untuk menjadi anggota) dalam parti," katanya.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu membayangkan kemungkinan wujudnya golongan itu berikutan perkembangan politik semasa yang menyebabkan ada anggota parti mudah berpaling tadah apabila mendapat tawaran lebih istimewa dari parti lawan.

"Berdasarkan pengalaman dan senario politik sekarang dibimbangi ia tidak mustahil boleh berlaku dalam PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Kelantan di sini.

Sebelum ini, bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz mendedahkan beliau diperuntukkan RM4 juta oleh tokoh dan pemimpin parti itu dalam tempoh tiga tahun untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, sekali gus mengekalkan pentadbiran PAS di Kelantan.

Penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella itu juga mendakwa wujud anak syarikat kerajaan negeri Global Media Chanel (GMC) yang memain peranan bagi tujuan yang sama membabitkan lima pimpinan PAS, termasuk seorang anggota exco negeri. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan