BN Tiada Bandingan Dalam Memperjuangkan Pendidikan Rakyat - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 8 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Barisan Nasional (BN) telah mengharungi lebih 50 tahun dugaan dan kesengsaran untuk muncul sebagai sebuah kerajaan yang mantap dan berupaya menguruskan soal pendidikan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata gagasan ini tiada bandingannya dengan entiti politik lain di negara ini daripada segi komitmen terhadap pembangunan sektor pendidikan.

"Daripada jumlah keseluruhan dalam bajet negara setiap tahun, 25 peratus diperuntukkan hanya untuk sektor pendidikan sahaja dan jumlah itu meningkat setiap tahun," katanya semasa melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK)Bahagia Jaya di Jalan Teku di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan yang tinggi kepada pembangunan pendidikan bagi memastikan generasi muda di negara ini akan mempunyai masa depan yang cerah.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kepentingan sektor pendidikan dengan menggariskannya sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Bagi penduduk Sibu, yang kini berdepan pilihan raya kecil parlimen, Muhyiddin menasihati mereka supaya tidak mempertaruhkan masa depan anak-anak dengan memilih calon lain dan bukannya calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew.

Beliau berkata Lau dipilih sebagai calon BN kerana beliau menunjukkan komitmen tinggi dan keupayaan untuk menjadi wakil rakyat yang efisien kepada masyarakat di sini.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di SK Abang Ali di sini, Muhyiddin mengingatkan mereka bahawa pemilihan Lau sebagai calon dipersetujui sendiri oleh Najib dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Namun yang lebih penting ialah beliau mewakili sebuah kerajaan yang sememangnya berkesan dalam membawa pembangunan, kemajuan dan kemakmuran ke negara ini.

"BN sentiasa mengotakan janji. Gagasan ini akan terus mengotakan janji. Bagi membolehkan BN berupaya berbuat demikian, rakyat mestilah memberi sokongan penuh mereka," katanya.

Beliau kemudian mengumumkan kelulusan Najib bagi pelbagai projek berjumlah RM1.2 juta untuk sekolah dan kawasan Kampung Baru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan