Najib Ingatkan Ahli Umno Supaya Tidak Berkelompok Dan Komplot

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak mengamalkan sikap berkelompok dan berkomplot di kalangan mereka kerana kedua-dua elemen negatif itu boleh merebahkan parti. Perdana Menteri berkata kedua-dua sikap berkenaan harus dijauhi dan dielakkan sebaliknya semua ahli bekerja dalam satu pasukan dan merancang apa saja pelaksanaan yang boleh memberi kebaikan kepada parti dan kepentingan untuk rakyat, bukannya menjatuhkan sesama ahli.

"Formula kita adalah bekerja sebagai satu pasukan jadi tidak ada kelompok dan komplot, bererti kita merancang bukan untuk kalahkan musuh tetapi kalahkan kawan dan itu penyakit yang boleh rebahkan parti," katanya ketika berucap di majlis perasmian berkelompok persidangan Umno cawangan-cawangan 2010 di sini hari ini.

Mengambil contoh kejatuhan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun, Najib yang juga Presiden Umno berkata kejatuhan parti itu disebabkan oleh sikap suka berkomplot yang diamalkan di kalangan ahli-ahli parti itu walaupun parti itu seusia parti Umno.

"LDP di Jepun, baru-baru ini kita dengar pengalaman pemimpin LDP yang ceritakan bahawa parti itu yang seusia Umno rebah di dalam pilihan raya terbaru dan salah satu faktornya adalah terdapat banyak kelompok dan komplot dalam parti sehingga mereka lupa matlamat parti untuk bela rakyat jelata kerana sibuk untuk kalahkan sesama kawan," kata beliau.

Najib berkata sekiranya satu hari nanti parti keramat orang Melayu itu rebah, perkara itu bukanlah disebabkan oleh orang atau pihak lain yang mengalahkan parti itu tetapi salah ahli-ahli parti itu sendiri yang sibuk menjatuhkan sesama sendiri.

Beliau berkata apa yang sebaiknya dilakukan oleh semua ahli parti adalah sentiasa membuat perancangan yang rapi dan jitu untuk menang dalam apa jua keadaan kerana sebarang kejayaan tidak akan datang dengan sendiri.

Menurut Najib, perancangan yang baik dan rapi adalah perancangan yang dilakukan sebaik saja sesebuah pilihan raya itu berakhir, bukannya sewaktu tarikh pilihan raya itu menghampiri di mana ketika itulah kelam-kabut mahu meletakkan siapa sebagai calon dan sebagainya.

Najib berkata kekalahan parti itu di lima negeri ketika pilihan raya umum 2008 hendaklah dijadikan iktibar bahawa Umno tidak memiliki kekebalan politik dan mungkin perkara itu akan berulang lagi sekiranya ada ahli yang terus mengamalkan sikap suka berkelompok dan berkomplot ini.

"Sekiranya kita tidak ubah cara dan perangai kita di semua peringkat, kita akan rebah jadi tunjukkan teladan yang baik kerana percayalah yang penting bukan diri kita atau kelompok atau komplot kita, yang penting Umno sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Selain itu katanya ahli-ahli parti juga harus menunjukkan teladan yang baik bagi mengelakkan Umno dilihat sebagai parti yang hanya mementingkan politik dalaman, bukannya memberi yang terbaik untuk rakyat.

Sementara itu, Najib berkata kepercayaan orang Melayu terhadap kerajaan semakin meningkat seperti mana yang dapat dilihat sejak pilihan raya umum lalu dan terbaru adalah siri pilihan raya kecil di dua kawasan di dua negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Bagan Pinang dan Ulu Selangor.

Katanya beliau melihat perkara itu sebagai aliran atau trend yang membanggakan walaupun ia belum lagi boleh dianggap sesuatu yang sudah sampai garis penamat kerana tidak mahu sejarah kekalahan di dalam pilihan raya berulang.

"Juga kawasan seperti Ijok di Kuala Selangor dan Pengkalan Pasir di Pasir Mas di mana kita berjaya ketika pilihan raya kecil tetapi kalah bila pilihan raya umum.

"Sebagai parti politik, kita mesti ambil iktibar dari peristiwa yang tak baik dijadi contoh untuk kita mengorak langkah supaya dapat ditingkatkan lagi pencapaian," kata beliau. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan