Saksi Utama Kes Tembak Remaja Beri Kenyataan Buat Kali Ketiga: Peguam

Diterbitkan: Khamis, 6 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada 26 April lepas akibat terkena tembakan polis, dipanggil buat kali ketiga untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor petang semalam, menurut peguam yang mewakilinya.

Muhammad Azamuddin Omar, 15, yang diiringi peguam yang mewakilinya N.Surendran dan Lathefa Koya dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, Monaliza Mokhtar tiba di ibu pejabat polis itu kira-kira 5.20 petang.

Mereka keluar dari pekarangan ibu pejabat polis itu kira-kira setengah jam kemudian selepas kenyataannya direkodkan.

Bercakap kepada pemberita, Surendran berkata Azamuddin yang berada bersama Aminulrasyid dalam kereta ketika kejadian, semalam ditanya sembilan soalan, sesetengahnya soalan yang sama pernah ditanya.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, di sini.

Lathefa berkata, beliau dan Surendran yang mewakili Aminulrasyid dan Azamuddin terkejut apabila mendapat tahu panel siasatan yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop meninjau tempat kejadian tanpa memaklumkan kepada mereka.

Katanya, mereka telah menghantar surat pada 3 Mei untuk dapatkan skop siasatan tetapi masih belum menerima jawapan.

Menjawab soalan, Surendran berkata mereka mempersoalkan keanggotaan semua panel siasatan dan bukan hanya bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohammed Haniff Omar.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Abu Seman, yang bertanggungjawab bagi pasukan polis, mempengerusikan panel itu.

Selain Abu Seman dan Mohammed Haniff, anggota lain panel siasatan itu ialah anggota Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan) Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz; anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Dr Michael Yeoh; bekas anggota Suhakam Dr Denison Jayasooria; penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim dan Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan