Pelancongan Dipilih Sebagai NKEA Beri Perangsang Kepada Perkhidmatan Udara

Diterbitkan: Khamis, 6 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memilih pelancongan sebagai satu daripada Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) secara tidak langsung akan memberi perangsang kepada perkembangan perkhidmatan udara negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata sehubungan itu pihaknya telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menandatangani perjanjian bagi membolehkan liberisasi penuh penerbangan awam ibu kota negara Asean dan negara ini.

"Jemaah menteri hari ini telah meluluskan cadangan yang membolehkan saya menandatangani perjanjian yang meliberisasikan sepenuhnya khidmat udara antara Malaysia dengan negara-negara Asean lain tanpa sekatan dari segi frekuensi penerbangan, jenis pesawat yang digunapakai dan kapasiti penumpang, mulai 30 Jun ini.

"Ini semata-mata untuk meluaskan lagi jaringan perhubungan udara kita selain menjadi faktor penyumbang utama kepada pertumbuhan industri pelancongan sebab sebarang promosi pelancongan tidak akan ke mana tanpa perkhidmatan udara," katanya kepada Bernama sebelum menjadi tetamu program Hello Malaysia terbitan Bernama TV di sini.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini telah meliberisasikan perkhidmatan udara di antara Kuala Lumpur dengan ibu kota utama Asean lain.

"Kita telah melangkah ke depan dan pada masa yang sama kita telah mengusahakan "hubungan udara" antara 18 destinasi di Malaysia dengan Singapura, maksudnya ia tidak terhad kepada KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sahaja," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan