Mafrel Akui Terima Dana Daripada Finland, Amerika Syarikat

Diterbitkan: Khamis, 6 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) hari ini mengakui bahawa badan bebas itu pernah menerima tajaan daripada dua agensi asing di Amerika Syarikat dan Finland bagi menampung sumber kewangannya pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Bagaimanapun Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noah menegaskan bahawa penerimaan dana itu tidak akan menyekat peranan Mafrel sebagai badan pemantau yang mengeluarkan laporan yang tepat dan benar mengenai isu berkaitan pilihan raya.

"Saya tak nafikan (penerimaan dana) itu sebenarnya. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita sememangnya memerlukan dana untuk mengadakan pemantauan proses pilihan raya.

"Saya hairan kalau ada pihak kata kita tidak perlukan kewangan. Kita perlukan dana dan dana ini sesuatu yang normal yang sememangnya diperlukan dalam mana-mana organisasi, parti politik mahupun NGO," katanya kepada pemberita di Pusat Komuniti Jemaah Islam Malaysia di Taman Melawati hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa Mafrel menerima dana daripada parti pembangkang dan pihak asing bagi menampung perbelanjaan operasinya.

Selasa lalu, Senator Dewan Negara, Datuk Idris Buang dilaporkan berkata, Mafrel diasaskan oleh bekas Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Beliau mendakwa, kesemua laporan Mafrel sengaja dibuat bagi menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Barisan Nasional (BN) dengan tujuan agar masyarakat melihat SPR sebagai agen kepada BN. Idris turut mempersoalkan sumber kewangan Mafrel untuk menampung perbelanjaan operasinya yang disifatkan sebagai memerlukan dana yang besar.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, badan itu sanggup menerima risiko kehilangan sumber kewangan daripada penaja mereka sekiranya pihak terbabit tidak bersetuju dengan laporan yang bersifat telus dan adil yang dikeluarkan oleh Mafrel.

Syed Ibrahim berkata, pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12), Mac 2008 yang lalu Mafrel telah menerima dana sebanyak US$50,000 (RM170,000) bagi menampung kos kajian dan penyelidikan pada ketika itu.

"Seingat saya dana yang diberikan adalah daripada dua syarikat iaitu, Kedutaan Finland untuk PRU-12 dan International Republican Institute (IRI) di Amerika Syarikat untuk pilihan raya negeri di Sarawak.

"Dana itu khusus untuk tujuan latihan dan pemantauan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung. Bagi saya tak ada yang pelik dan ajaib dalam isu ini," katanya.

Syed Ibrahim berkata, pemberian dana itu diberikan bagi menampung kos untuk menjalankan kajian dan penyelidikan.

Oleh itu, Mafrel perlu menyiapkan laporan kepada pihak yang memberikan dana terbabit namun badan itu tidak menghadkan untuk berkongsi laporan itu dengan pihak-pihak lain.

"Kita tak tutup pintu kepada mana-mana ahli Umno, PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bersama-sama dengan Mafrel dan jadi sukarelawan.

"Tapi kalau jadi sukarelawan Mafrel mereka perlu mainkan peranan sebagai pemantau yang professional yang berwibawa dan bebas daripada fahaman politik," katanya.

Jelasnya, Mafrel pernah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk mendapatkan dana bagi menampung perbelanjaan operasinya pada PRU ke-12 namun disebabkan oleh faktor kekangan masa dan prosedur yang terlalu ketat mereka tidak berjaya mendapatkannya.

"Kita pernah minta (dana) ini daripada kerajaan, masalahnya dari segi proses, kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri, ia memakan masa yang sama, sehingga menjelang PRU-12 tidak ada sebarang jawapan jadi kita terpaksa bergantung kepada sumber kewangan lain," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa badan pemantau bebas itu hanya menerima dana daripada dua syarikat terbabit pada PRU-12 dan Mafrel menggunakan pembiayaan sendiri dalam setiap pilihan raya kecil yang berlansung di negara ini.

"Kami tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sehingga kami tidak boleh memainkan peranan dengan baik hanya kerana kami menerima sumber dana daripada pihak asing. "Dana ini diberikan secara terbuka tidak ada agenda tersembunyi atau sumber daripada wang haram.. Proses ini dibuat secara telus.

"Jika tidak sudah pasti Bank Negara datang kepada kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ibrahim berkata Mafrel telah menyiapkan Laporan Awal Misi Pemerhatian Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.

"Laporan rasmi dijangka akan dapat dikeluarkan pada awal atau pertengahan bulan Jun selepas tamat tempoh bantahan," katanya.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan