Tangan Tekong Hampir Putus Tersangkut Mesin Tarik Pukat

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang tekong bot nelayan nyaris maut apabila tangan kirinya tersangkut pada mesin penarik pukat jerut ketika menangkap ikan di perairan Pulau Aur, dekat Mersing, hari ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada seorang awak-awak bot nelayan kira-kira pukul 4 pagi yang memaklumkan tekong terbabit mengalami kecederaan.

"Pasukan penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menemui bot nelayan itu pada kedudukan 2.3 batu nautika dari Tanjung Sedili.

"Mangsa, Mohd Ali Abas, 45, sedang terbaring mengerang kesakitan dan pemeriksaan mendapati tangan kirinya hampir putus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Hadib berkata, pasukan penyelamat memberi rawatan awal bagi menghentikan pendarahan sebelum Mohd Ali yang mengalami kecederaan serius dibawa balik ke Jeti Tanjung Sedili dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Beliau berkata, difahamkan, semasa kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa bersama tujuh awak-awak sedang menangkap ikan di perairan itu.

"Semasa menaikkan pukat, dengan tidak sengaja tangan kiri Mohd Ali tersangkut dan terbelit pada tali mesin penarik pukat menyebabkan tangannya terkulai dan hampir putus," katanya.

Abdul Hadib berkata, seorang awak-awak cuba menghubungi APMM bagi meminta bantuan namun pada ketika itu tiada isyarat penerimaan talian telefon di kawasan itu.

Mereka katanya, hanya berjaya menghubungi APMM tiga jam kemudian setelah menghampiri tiga batu nautika ke pesisir pantai Tanjung Sedili. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan