PRK Sibu Jadi Petunjuk Pilihan Raya Negeri

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selain menjadi tumpuan calon dan parti yang bertanding, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang pastinya akan menarik minat pelbagai pihak untuk mengikutinya dengan penuh teliti.

Pertarungan antara pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng dan muka baru Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bukan saja akan menjadi tumpuan orang ramai, tetapi juga para pemerhati dan penggiat politik.

Kemenangan dalam pilihan raya kecil ini mempunyai erti besar bagi kedua-dua parti yang bertanding dalam persiapan mereka bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan sebelum Julai tahun depan.

Keputusan pilihan raya kecil ini juga memberi petunjuk penting tentang arah aliran politik di peringkat nasional.

Sekiranya DAP mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil ini, ia bermakna SUPP akan menghadapi masalah besar pada pilihan raya negeri kelak, seperti yang dialami parti itu pada pilihan raya negeri 2006. Tetapi, jika SUPP memenanginya, maka ini bermakna parti itu berada di laluan yang kukuh untuk menebus kekalahan yang dialaminya sebelum ini.

"Inilah sebabnya kenapa pilihan raya kecil Sibu bukan saja menarik minat pelbagai pihak, tetapi juga dilihat amat penting kerana ia menentukan tahap sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN), khususnya SUPP," kata seorang ahli politik veteran.

Beliau berkata SUPP mungkin menguji keberkesanan "rancangan pemerkasaan semula dan pemulihannya" pada pilihan raya kecil itu bagi membolehkannya mengatasi kelemahan yang ada, sebagai persiapan untuk membantunya menawan semula lapan kerusi yang terlepas dari genggamannya pada pilihan raya lepas.

Penganalisis politik kelahiran Kuching Prof James Chin berkata beliau percaya kelemahan paling ketara pada SUPP ialah ia dianggap sebagai "parti yang sedang menuju kematian", manakala kelemahan DAP Sarawak pula ialah ia dilihat sebagai parti muda dengan pemimpin yang muda juga.

"Masalah DAP ialah para pemimpinnya sering dibuang oleh parti itu. Ini lebih ketara apabila mereka menjadi semakin berjaya. Apabila semakin berjaya, mereka akan lebih banyak melawan," katanya.

Bagaimanapun, para pemimpin SUPP berkata sejak parti itu mengalami kekalahan mengejutkan pada pilihan raya negeri 2006, ia mula mengasuh lebih banyak anggotanya yang muda dan berpendidikan tinggi untuk menjadi calon dengan mendedahkan mereka kepada persekitaran politik, seperti memainkan peranan sebagai anggota majlis perbandaran.

"Antara langkahnya ialah mengenal pasti calon sejak awal lagi. Sebab itulah anda tidak melihat ada masalah dalam pemilihan calon bagi pilihan raya kecil Sibu kali ini kerana calon yang berpotensi ini telah diasuh sejak dua tahun lepas.

"Ini memberi kami masa yang secukupnya kepada kami kali ini dalam memilih calon yang tepat dan memperkenalkannya kepada orang ramai," kata pengerusi SUPP Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh.

Oleh itu, kata Wong, walaupun Robert Lau junior dicop sebagai calon mentah, parti SUPP yakin peguam berusia 45 tahun itu mampu mengekalkan kerusi berkenaan bagi BN.

"Malah, Perdana Menteri sendiri kagum dengan keistimewaan yang ada pada dirinya.

"Ini memberi petunjuk awal kepada kami bahawa kami telah mengasuh calon yang tepat bagi pilihan raya kecil ini," kata Wong, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam dan Menteri Kewangan Kedua Sarawak.

Pilihan raya kecil Sibu menarik untuk diamati kerana ia diadakan tidak lama selepas pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan semula BN, walaupun parti itu kehilangan banyak pengundi Cina yang memihak kepada gabungan parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR).

"Inilah sebabnya pilihan raya kecil ini begitu menarik minat mereka yang mengikuti perkembangan politik secara mendalam...kerana mereka berminat untuk mengetahui bagaimana pola pengundian kaum Cina di Sibu. Adakah mereka akan mengundi SUPP atau DAP?," tanya seorang pemerhati politik.

Berdasarkan trend pengundian sebelum ini, termasuk pada pilihan raya umum 2008, hanya kira-kira 40 peratus hingga 45 peratus pengundi Cina memilih Lau. Kemenangan beliau banyak bergantung pada undi kaum Iban, Melayu/Melanau dan undi pos.

Kalaulah bukan kerana undi itu, keputusan pilihan raya umum lepas bagi kawasan ini mungkin telah memihak kepada Wong Ho Leng dari DAP, yang meraih 15,903 undi berbanding 19,138 yang diterima mendiang Robert Lau.

Beberapa penganalisis politik percaya pakatan pembangkang di negeri ini, yang terdiri daripada PKR-DAP-PAS-SNAP, akan cuba mempengaruhi pola umum pengundian masyarakat Cina di negara ini dengan menimbulkan isu nasional yang sama, seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Kami menjangka mereka akan memainkan isu yang boleh membuat sesetengah pengundi Cina menentang keras BN seperti yang telah berjaya dilakukan DAP pada pilihan raya kecil Hulu Selangor," kata satu sumber parti itu.

Bagaimanapun, katanya, belum pasti lagi sama ada sentimen begitu akan merebak ketika menjelangnya pilihan raya kecil Sibu dan sama ada ia akan memberi kesan buruk terhadap calon SUPP kerana pengundi di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah berbeza.

Sebagai persiapan awal, semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini, pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah mengerahkan dua orang kuat politiknya ke sana bagi membuat penilaian terhadap keadaan, terutama berhubung isu yang ditimbulkan dan bagaimana kempen dijlankan di sana.

"Kemenangan di Hulu Selangor meningkatkan semangat kami dalam menghadapi pilihan raya kecil Sibu. Ia memberi kesan penting kepada kami," kata seorang daripada dua orang kuat Abdul Taib itu yang tidak mahu dikenali.

Orang yang sama juga berkata sekiranya BN dapat mengekalkan kerusi Sibu, ia memberi petunjuk tentang kemungkinan pilihan raya negeri akan diadakan lebih awal.

"Sekiranya kami menang, ada kemungkinan kami akan adakan pilihan raya negeri lebih awal...mungkin menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini," katanya.

Kawasan Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pengundi, 66 peratus daripadanya masyarakat China Foochow. Selebihnya adalah pengundi Melayu/Melanau yang terdiri daripada kira-kira 17 peratus, diikuti pengundi Iban (15 peratus) dan pengundi Bidayuh, Orang Ulu dan India.

Di samping itu terdapat 2,537 pengundi pos, yang kebanyakannya terdiri daripada anggota tentera yang bertugas di dua kem dan anggota polis. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan