Panel Khas Diberi Ruang Luas Jalankan Tugas - Hishammuddin

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Panel khas memantau siasatan insiden seorang remaja Aminulrasyid Amzah, 15, yang maut terkena tembakan polis bulan lepas, diberikan ruang seluas mungkin dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan siasatan kes itu dilaksanakan secara telus, adil, cepat dan tanpa rasa takut atau berat sebelah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa itu adalah matlamat utama panel khas itu ditubuhkan.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa panel ini tidak akan mencampuri urusan prosedur siasatan, sebaliknya akan bertindak melihat dan menilai setiap sudut aspek siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anggota panel khas itu terdiri daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop sebagai pengerusi; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar; anggota Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan), Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz.

Turut menganggotai panel khas itu ialah anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Dr Michael Yeoh; bekas anggota Suhakam, Dr Denison Jayasooria; penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi 26 April lepas, Aminulrasyid mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri semasa hendak ditahan di Seksyen 11, Shah Alam.

Hishammuddin berharap ibu dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid bersabar dengan proses siasatan yang sedang dijalankan serta dapat menerima pembentukan panel khas itu.

Katanya seperti diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau mahu agar siasatan terhadap perkara itu dapat dilaksanakan secara telus tanpa menyembunyikan sebarang fakta dan maklumat serta adil.

Beliau berkata keluarga remaja itu dan orang ramai boleh meneliti sendiri senarai anggota panel itu yang diketahui umum sebagai individu yang bebas dan dihormati kerana latar belakang, pengalaman serta kepakaran mereka dalam hal berkaitan hak asasi manusia, jenayah dan bidang kepolisian.

"Berdasarkan latar belakang, pengalaman dan kepakaran anggota panel khas ini, orang ramai boleh menilai sejauh mana kesungguhan dan keikhlasan kerajaan untuk memastikan perkara ini diselesaikan secara telus, adil dan cepat," katanya.

Beliau yang menyuarakan rasa sedih dan amat bersimpati kepada ibu serta keluarga mangsa, sekali lagi berharap agar kejadian itu tidak dipolitik dan disensasikan oleh sesiapa sahaja.

"Berikan peluang dan sedikit kepercayaan kepada pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan kerana panel khas ini perlu melaksanakan tanggungjawab dan peranan mereka sebaik mungkin," katanya.

Hishammuddin berkata perbuatan mempolitik atau mensensasikan kejadian itu hanya akan membawa kepada perbincangan terbuka tanpa elemen rasional dan sudah pasti tidak akan membantu menyelesaikan siasatan.

Beliau memohon semua pihak bersabar, mengenepikan emosi dan sebarang sikap prejudis terhadap polis agar mereka dapat melaksanakan siasatan seperti yang dikehendaki. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan