Mafrel Akan Tetap Pantau PRK Sibu - Syed Ibrahim

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) hari ini menegaskan bahawa badan itu akan tetap bertindak sebagai pemerhati bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu yang akan berlangsung pada 16 Mei ini.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noah berkata, masih ada keperluan untuk Mafrel atau mana-mana badan bebas memantau agar wujudnya ‘check and balance’ dalam setiap pilihan raya kecil yang berlangsung di negara ini.

“Kita tidak perlu mengikut pandangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaliknya kita perlu melihat pandangan semua pihak dalam hal ini.

“Saya melihat masih ada keperluan untuk mana-mana badan bebas memantau agar proses pilihan raya ini dilaksanakan secara adil dan telus oleh SPR atau mana-mana parti yang bertanding,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan SPR bahawa suruhanjaya itu tidak memerlukan Mafrel atau mana-mana badan bukan kerajaan untuk menjadi pemerhati bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata, SPR menarik balik pengiktirafan terhadap peranan Mafrel kerana badan bebas itu didakwa gagal untuk menghantar sebarang maklum balas atau laporan kepada suruhanjaya berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, Mafrel memegang prinsip sesiapa sahaja boleh menjadi badan pemerhati bebas selagi mereka tidak melanggar Akta Pilihan Raya dan masuk ke kawasan larangan yang ditetapkan oleh SPR.

“Sesiapa sahaja boleh memantau perjalanan pilihan raya selagi mereka tidak masuk ke tiga tempat larangan yang ditetapkan oleh SPR, iaitu tempat penamaan calon, pusat pengundian dan pusat pejumlahan undi.

“Selain itu, saya lihat tidak ada masalah untuk Mafrel atau mana-mana badan bebas memantau perjalanan pilihan raya kecil di negara ini,” katanya.

Jelasnya, sebagai sebuah badan bebas, Mafrel tidak hanya menegur SPR sebaliknya mereka turut mengkritik parti-parti yang bertanding sekiranya dilihat melanggar peraturan pilihan raya seperti memberi sumbangan dan menjamu makan kepada pengundi pada musim pilihan raya kecil berlangsung. “Pada pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan April lalu, kita ada terima laporan mengenai pemberian wang kepada pengundi dan memberi makan kepada penduduk kampung.Perkara seperti ini sudah melanggar Akta Pilihan Raya,” ujarnya.

Kesimpulannya kata beliau, Mafrel tidak akan menarik diri daripada memantau perjalanan pilihan raya yang berlangsung di negara ini.

“Masih banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini. Isu seperti daftar pemilih, perlu diatasi dengan kadar segera oleh SPR.

“Kami berharap agar SPR dapat menjalin kerjasama dengan Mafrel atau mana-mana badan bebas supaya satu rangka kerja yang baik dapat dibentuk dalam memastikan perjalanan pilihan raya kecil yang adil dan telus dapat dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Mengenai jumlah wakil Mafrel yang akan dihantar untuk memantau perjalanan pilihan raya kecil Sibu, Syed Ibrahim berkata: “Kita masih belum putuskan berapa jumlah sukarelawan yang akan dihantar ke sana.”

“Disebabkan oleh kekangan jarak dan masa yang suntuk, kita mungkin akan menggunakan sukarelawan dari kalangan orang tempatan di sana sahaja,” katanya.

Pilihan raya kecil Sibu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Robert Lau kerana menghidap kanser hati pada 9 April yang lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon dan 16 Mei sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Lim Chun Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

SPR akan membuka 45 stesen mengundi dengan 110 saluran mengundi yang akan diuruskan oleh 1,149 petugas.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan